Malaysia-Indonesia teruskan kerjasama pertingkat kredibiliti minyak sawit - KPK

Bernama
Disember 7, 2023 05:30 MYT
Solidariti industri yang direncanakan bersama Malaysia-Indonesia bagi meningkatkan kredibiliti minyak sawit di mata dunia, akan diteruskan. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Solidariti industri yang direncanakan bersama Malaysia-Indonesia bagi meningkatkan kredibiliti minyak sawit di mata dunia, akan diteruskan sebagai jambatan untuk memperkukuh kembali eksport komoditi itu yang terkesan akibat sekatan Kesatuan Eropah (EU).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, ini termasuk langkah kerajaan melaksanakan misi lawatan bersama dengan kerajaan Indonesia pada 30-31 Mei, 2023 yang disertai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Hasil daripada misi itu, pemimpin EU telah mengalu-alukan pandangan daripada kedua-dua negara yang juga pengeluar utama sawit.
"Misi berkenaan juga bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas bersama (JTF) ad-hoc Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang mengadakan pertemuan pada 4 Ogos lepas di Jakarta, Indonesia manakala mesyuarat kedua pada Januari 2024 di Kuala Lumpur," katanya yang mewakili Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024, bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, pada Khamis.
Mengulas selanjutnya, Siti Aminah berkata, bahawa Malaysia dan Indonesia turut melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan industri sawit masing-masing tidak terus terjejas.
"Antara tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan adalah mengadakan beberapa pertemuan serta sesi libat urus dengan pihak EU dan organisasi global di peringkat pegawai kanan kerajaan dan agensi bagi membincangkan langkah terbaik menangani EUDR.
"Langkah kedua adalah membawa isu EUDR ke peringkat ASEAN melalui hubungan diplomatik dengan negara-negara pengeluar agrikomoditi serantau," katanya.
Siti Aminah berkata, Malaysia dan Indonesia turut mempergiat usaha agar EU mengiktiraf Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) sebagai syarat utama dalam pematuhan EUDR.
"Malaysia sentiasa komited untuk menghasilkan minyak sawit mengikut prinsip dan kriteria mampan di bawah MSPO.
"Dalam hal ini, KPK menerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC) sedang menambah baik pensijilan tersebut melalui MSPO 2.0 agar selaras dengan keperluan semasa bagi aspek kemampanan global," katanya. - BERNAMA
#minyak sawit #KPK #Malaysia #Indonesia
;