Malaysia, Indonesia digesa bekerjasama tingkatkan penggunaan minyak sawit

Bernama
September 18, 2018 13:19 MYT
Terdapat banyak bantahan terhadap minyak sawit di banyak negara di dunia, tetapi itu semua berdasarkan kepada maklumat palsu. - Gambar fail
Malaysia dan Indonesia perlu bekerjama untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam pasaran global dan menangani salah faham yang menyelubungi komoditi itu terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat, kata Pengarah Eksekutif Oil World Thomas Mielke.
Beliau berkata dua pengeluar minyak sawit utama dunia itu perlu giat menyebarkan fakta sebenar bahawa minyak sawit dihasilkan secara lestari.
"Ia juga perlu termasuk sekali usaha menambah baik standard dan kriteria perladangan yang sama seperti minyak kacang soya, minyak biji anggur dan juga minyak bunga matahari.
"Terdapat banyak bantahan terhadap minyak sawit di banyak negara di dunia, Tetapi, ini semua berdasarkan kepada maklumat palsu disebabkan oleh aktiviti pertubuhan bukan kerajaan.
"Justeru itu, penting bagi Malaysia dan Indonesia untuk saling bekerjasama dan berbincang dengan Kesatuan Eropah (EU), sebagai contoh, dan negara-negara lain untuk melindungi tanaman itu," kata penganalisis minyak boleh dimakan itu kepada Bernama baru-baru ini.
Mielke berkata kedua-dua negara perlu bekerjasama dalam aktiviti promosi di negara-negara yang mengehadkan penggunaan minyak sawit.
Menurutnya, dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang, niaga hadapan minyak sawit mentah di Bursa Malaysia Derivative dijangka meningkat kepada antara paras RM2,400 hingga RM2,600 setan metrik.
"Kira-kira 43 peratus orang Eropah aktif menggunakan media sosial, oleh itu, ia adalah cara yang baik untuk berkomunikasi dengan mereka," katanya.
Pihak yang berkempen di EU telah bertahun-tahun menyebarkan maklumat palsu tentang minyak sawit Malaysia mendakwa ia tidak dihasilkan dengan cara yang mesra alam.
Mengulas perkara ini, Lardi berkata komunikasi secara menyeluruh dengan masyarakat umum akan membawa kesan ketara, bukan hanya dalam kalangan rakyat, tetapi juga pengawal selia.
Ia perlu digunakan untuk menyebarkan maklumat yang betul dan bukannya bila berlaku krisis, katanya.
--BERNAMA
#Indonesia #industri minyak sawit #Malaysia #minyak sawit
;