Malaysia, India nyata komitmen jalin hubungan tingkatkan ekonomi PKS - Ramanan

Bernama
Mac 5, 2024 22:54 MYT
Datuk R. Ramanan berkata perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy di pejabatnya hari ini. - Facebook Ramanan Ramakrishnan Official Media
KUALA LUMPUR: Malaysia dan India menyatakan komitmen untuk menjalinkan hubungan yang lebih kukuh, dalam meningkatkan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata perkara itu, dibincangkan dalam kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy di pejabatnya, di sini hari ini.
"Saya yakin pertemuan ini membawa peluang baharu yang memberi manfaat kepada PKS di Malaysia dan India," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ramanan berkata dalam pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu, Reddy turut memaklumkan kerajaan India menantikan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu, yang bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-India.
"Kerajaan India menyifatkan Malaysia mempunyai landasan ekonomi yang kukuh, melalui reformasi ekonomi yang dilaksanakan di bawah pimpinan Perdana Menteri," katanya.
-- BERNAMA
#perusahaan kecil dan sederhana #ekonomi #Malayia #India #r ramanan
;