Malaysia harus tangani isu struktur untuk bawa masuk FDI - Ahli ekonomi

Bernama
Januari 30, 2024 05:15 MYT
Malaysia harus menangani isu-isu struktur terutamanya untuk menambah baik modal insan, sumbangan kepada produktiviti dan pekerjaan untuk membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia harus menangani isu-isu struktur terutamanya untuk menambah baik modal insan, sumbangan kepada produktiviti dan pekerjaan untuk membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.
Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Datuk Prof Emeritus Norma Mansor berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi global dengan ketegangan geopolitik, Asia dilihat sebagai salah satu wilayah yang berkembang maju, menyumbang sebanyak 70 peratus pertumbuhan global.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemasukan FDI ke Malaysia semakin perlahan kerana ia kurang menerima FDI berbanding negara lain di rantau ini.
"Faedah FDI ialah ia membawa masuk teknologi dan pengetahuan dan pada masa sama ia juga akan membantu Malaysia menyertai rantaian bekalan global. Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lepas, 80 peratus pekerjaan yang dihasilkan daripada FDI adalah pekerjaan separuh mahir dan peringkat bawahan," katanya ketika ditemui Bernama di luar Forum Tinjauan Strategik dan Ekonomi Global (GESOF) 2024 di sini hari ini.
GESOF dianjurkan bersama oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific, The Economic Club of Kuala Lumpur dan World Digital Chamber.
Beliau berkata, produktiviti Malaysia juga semakin perlahan, justeru wujud keperluan untuk menambah baik isu melibatkan modal insan.
"Malaysia perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tambah tinggi kerana ia juga bermakna pekerja menerima gaji tinggi. Gaji di Malaysia secara relatifnya lebih rendah berbanding dengan rantau seperti Vietnam dan Thailand terutamanya jika anda bercakap mengenai peringkat pertengahan dan tinggi dalam organisasi.
"Ini juga dikaitkan dengan aspek pekerjaan yang lain iaitu 'brain drain' (penghijrahan cendekiawan)," katanya.
Gaji progresif yang dicadangkan oleh kerajaan boleh menyumbang ke arah kenaikan gaji ditambah dengan lebih banyak aktiviti nilai tambah dan pekerjaan berpendapatan tinggi, katanya.
Sehubungan itu, cadangan untuk beralih kepada pendigitalan bagi peningkatan teknologi akan menyokong menambah baik produktiviti dan ekonomi negara, katanya.
Beliau juga berkata, mempunyai jaminan keselamatan sosial yang baik untuk pekerjaan sehingga meningkatkan kos menjalankan perniagaan bukanlah faktor yang akan menghalang FDI, bertentangan dengan kebanyakan pendapat popular mengenainya.
"Pendapat itu tidak benar kerana daripada tinjauan dalam kalangan industri yang menjalankan perniagaan di Malaysia, kami mendapati kos keselamatan sosial tidak menjadi penghalang. Sebenarnya, keselamatan sosial yang lebih baik akan menggalakkan produktiviti lebih tinggi dan menarik lebih ramai individu yang layak untuk menyertainya.
"Sehubungan itu, mempunyai perlindungan keselamatan sosial inklusif akan menyokong pekerjaan yang rakyat Malaysia mahukan," katanya.
Ketua Ahli Ekonomi AmBank (M) Bhd, Firdaos Rosli berkata, langkah kerajaan berhubung dasar fiskal perlu jelas kerana pelabur perlu menentukan harga dalam perubahan untuk mengukur risiko pelaburan mereka.
Mengenai langkah rasionalisasi subsidi yang akan dilaksanakan oleh kerajaan, beliau berkata garis masa untuk pelancaran dan mekanismenya perlu dipastikan.
Bagi unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pula, beliau berkata, dengan mengandaikan bahawa rasionalisasi subsidi tidak memberikan sebarang kesan buruk, AmBank melihat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus untuk Malaysia tahun ini dengan potensi peningkatan untuk perdagangan.
"Kami menjangkakan eksport semikonduktor menjadi positif mulai suku kedua dan seterusnya dengan lebih ramai kemasukan pelancong dari China berikutan dasar pengecualian visa untuk menyokong pertumbuhan," katanya.
Dari segi inflasi, beliau berkata, Ambank menjangka ia berada pada tiga peratus tahun ini, berpotensi meningkat berikutan rasionalisasi subsidi.
"Selain itu, kadar pengangguran akan terus menurun ke paras sebelum pandemik sebanyak 3.2 peratus tahun ini, ia merupakan petunjuk positik tetapi pertumbuhan gaji tahun ini tidak akan sebaik tahun lepas berikutan kesan asas yang lebih rendah sebelum ini, " katanya.
Mengenai ringgit, beliau berkata, bank itu menjangkakan unit tempatan melonjak kepada RM4.50 berbanding dolar US dengan harapan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan kadar faedah yang pertama.
"Bagaimanapun, susulan pasaran buruh semasa AS terus kukuh, kami menjangkakan kadar faedah AS kekal tinggi dalam tempoh terdekat," katanya. - BERNAMA
#FDI #pelaburan langsung asing #modal insan #Datuk Prof Emeritus Norma Mansor
;