Malaysia harus rebut peluang hasil penganjuran WEF di Singapura
Najib Aroff
Disember 8, 2020 16:31 MYT
Disember 8, 2020 16:31 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia harus merebut peluang yang tersedia hasil penganjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Singapura tahun depan, kata Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.
Beliau yang juga berharap Malaysia segera merombak sektor mesyuarat, insentif, persidangan, pameran (MICE) supaya ia lebih relavan dan diterima masyarakat dunia.
"Saya sedikit sebanyak terkejut dengan perkembangan terkini yang mana Singapura boleh anjurkan persidangan sebesar (WEF).
"Pada hemat saya sudah tentu Malaysia harus buka mata bahawa industri MICE akan berubah ke negara Singapura. ini kebimbangan saya.
"Disebabkan pandemik COVID-19, ramai peserta industri MICE yang saya temui mengatakan mereka rugi hampir RM3 bilion dan hampir 82,000 pekerja ditamatkan perkhidmatan," katanya yang jugah Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik Persatuan Pusat Perdagangan Dunia (WTCA).
Irmohizam berkata, Malaysia seharusnya menggunakan kedudukan selaku Pengerusi APEC 2020 untuk mengambil peluang merencana perkongsian kesan limpah positif dengan Singapura untuk penganjuran WEF.
"Sudah sampai masa kita ubah landskap atau paradigma industri MICE kepada penganjuran acara perniagaan atau Business Event Industry merangkumi seluruh landskap, berbanding hanya tertumpu kepada pelancongan," katanya lagi.
Irmohizam juga mencadangkan selepas vaksin diterima, pengembara perniagaan harus dikecualikan daripada kuarantin wajib bagi mengalakkan kemasukan mereka ke Malaysia.
"Ini akan menunjukan persepsi positif untuk mereka datang dan adakan persidangan serta acara industri perniagaan di Malaysia.
"Kita akan berjaya wujudkan pekerjaan dan selamatkan industri ini yang terjejas akibat COVID-19 malah meletakan Malaysia sebagai negara yang dihormati." katanya.