Malaysia gerbang utama eksport Taiwan ke negara Asia
Bernama
Oktober 16, 2024 05:15 MYT
Oktober 16, 2024 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia berfungsi sebagai pintu masuk utama untuk eksport Taiwan ke negara-negara Asia memandangkan wujud banyak persamaan dalam perjalanan pembangunan mereka, kata Timbalan Datuk Bandar Kaohsiung, Charles Lin.
Malaysia dan Taiwan berkongsi matlamat yang sama dalam industri semikonduktor, pembangunan pemula niaga, ekosistem serta visi mereka untuk perbandaran pintar.
“Keutamaan kerajaan bandar kami adalah untuk memberi subsidi kepada enam syarikat yang kami bawa ke Konvensyen Bandar Pintar Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2024 dalam membantu mereka meneroka peluang perniagaan di luar negara.
"Penyelidikan kami menunjukkan bahawa Malaysia adalah pilihan utama Taiwan untuk mula mengeksport ke negara Asia berdasarkan kesamaan perjalanan pembangunan kami.
"Kedua-dua negara berada di rantau yang sama dan memberi tumpuan kepada industri semikonduktor selain berusaha memupuk ekosistem pemula niaga, kami juga berkongsi visi untuk bandar pintar," katanya kepada Bernama.
Ketika beberapa negara lain di Asia sedang membincangkan bandar pintar, Malaysia sudah pun mendahului mereka dalam transformasi digital, katanya.
"Kami mengutamakan transformasi digital, di samping dwi peralihan digital dan karbon, yang melibatkan kemajuan teknologi yang ketara. Peralihan ini bukan sahaja penting malah akan membawa manfaat bersama untuk setiap matlamat," tambahnya.
Lin mengetuai delegasi dari pengangkutan pintar, penjagaan kesihatan pintar termasuk syarikat pemula niaga dari Taiwan Startup Terrace untuk menyertai SDEC 2024, yang diadakan di sini mulai 16-19 Okt.
Delegasi itu merangkumi hampir 20 wakil daripada kerajaan Kaohsiung serta syarikat teknologi pintar terkemuka bagi berbincang dengan perniagaan di Selangor dan Malaysia yang menumpukan pada perkongsian berpotensi dalam platform penjagaan kesihatan serta mobiliti pintar.
Enam syarikat Kaohsiung yang mengambil bahagian dalam SDEC 2024 ialah Advmeds, iAmbition Teknologi, LTPA Solution, Hitspectra Intelligent Technology, Meta Intelligence dan Chunghwa Telecom, secara kolektif mempamerkan pelbagai kekuatan dalam aplikasi inovasi kecerdasan buatan (Al) serta 5G.
"Ini adalah kali pertama kami membawa enam syarikat cemerlang dari Kaohsiung ke SDEC 2024, dan saya yakin mereka akan menemui peluang untuk membentuk perkongsian di Malaysia.
"Bagi saya, mereka berkemampuan tinggi dalam penggunaan aplikasi AI membabitkan penawaran perkhidmatan. Dengan sektor pembuatan menegak yang teguh di Kaohsiung, mereka mempunyai asas yang baik ke arah pertumbuhan dan wajar berkembang di peringkat antarabangsa untuk meningkat," katanya.
Pada 15 Okt lepas, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han mengalu-alukan Lin serta mengetuai lawatan ke IC Design Park - hab reka bentuk litar bersepadu semikonduktor pertama Malaysia dan terbesar di Asia Tenggara.
Keesokan paginya, pada 16 Okt, delegasi berkenaan menuju ke Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi perbincangan lanjut mengenai usaha mencari padanan serta kerjasama industri.
"Lawatan itu bukan sahaja menunjukkan komitmen Kaohsiung untuk memajukan inisiatif bandar pintar tetapi ianya juga menandakan satu kejayaan baharu atau peristiwa penting dalam kerjasama antara Taiwan dan Malaysia dalam bidang teknologi pintar.
"Dengan menjalin hubungan rapat dengan bandar kami dan syarikat yang menjadi peneraju dalam pembangunan perindustrian, Kaohsiung bersedia untuk mewujudkan lebih banyak peluang ke arah kerjasama dan eksport antarabangsa," menurut beliau melalui satu kenyataan.
Kaohsiung diiktiraf sebagai peneraju dalam pembangunan rendah karbon serta inovasi bandar pintar, ia telah menerima pengiktirafan daripada APEC dan Anugerah Bandar Pintar Asia-Pasifik IDC. Kemajuan digitalnya dalam pertanian termasuk penjagaan kesihatan juga dipuji oleh organisasi global seperti World Smart Sustainable Cities Organization (WeGO) dan World Congress on Information Technology (WCIT).
-- BERNAMA