Malaysia duduki tangga teratas penggunaan e-wallet di Asia Tenggara - Kajian MasterCard
Hasimi Muhamad
Jun 23, 2020 19:49 MYT
Jun 23, 2020 19:49 MYT
Malaysia menduduki tangga teratas dalam penggunaan e-wallet berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara, menurut kajian yang dijalankan oleh MasterCard.
Syarikat teknologi dalam industri pembayaran global, Mastercard itu melaporkan Filipina berada di kedudukan kedua dengan 36 peratus, sementara kedudukan ketiga dan keempat masing-masing adalah Thailand (27 peratus); dan Singapura (26 peratus).
Temu bual secara dalam talian itu melibatkan lebih 10,000 pengguna di 10 pasaran di seluruh Asia Pasifik yang dijalankan pada Mac bagi laporan bulan April, sementara April bagi laporan bulan Mei.
Menurut Presiden Bahagian, Pasaran Baru Asia Tenggara, Safdar Khan, penggunaan kaedah pembayaran digital di negara ini juga lebih tinggi berbanding pasaran lain di Asia Tenggara.
“Pada April, 18 peratus pengguna melakukan pembayaran tanpa tunai (termasuk pembayaran mudah alih dan QR), berbanding 16 peratus di Filipina; dan 15 peratus (Singapura dan Thailand).
“Bagi kad tanpa sentuh (debit dan kredit), Malaysia menjalin hubungan dengan Singapura dengan kira-kira 24 peratus pengguna di kedua-dua pasaran mengatakan mereka lebih menggunakan pembayaran tanpa sentuh,” demikian katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Dalam pada itu, kajian tersebut turut mendedahkan berlaku peningkatan dalam aktiviti digital di negara ini terutamanya pembelian dalam talian, serta aktiviti-aktiviti lain turut menunjukkan minat yang tinggi.
Aktiviti dalam talian paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia adalah melayari internet untuk mendapatkan bahan berita dan hiburan dengan mencatatkan 75 peratus.
Ia diikuti dengan penstriman video dalam talian sebanyak 57 peratus; rangkaian sosial (55 peratus); serta penghantaran makanan dan barang runcit dari rumah (45 peratus).
“Perubahan cara pembelian menandakan perubahan di seluruh wilayah dengan pasaran lain seperti Singapura, Filipina dan Thailand juga mengurangkan penggunaan tunai (masing-masing dengan 67, 64 dan 59 peratus).
“Ia turut menunjukkan peningkatan yang sama terhadap semua kaedah pembayaran tanpa sentuh,” jelas Safdar lagi.