Malaysia dijangka tarik lebih banyak aliran masuk asing daripada pewarisan harta di Asia bernilai AS$1.9 trilion - SC
Bernama
Mei 8, 2024 23:00 MYT
Mei 8, 2024 23:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka dapat menarik lebih banyak aliran masuk asing dengan jangkaan pewarisan harta yang lebih besar daripada golongan berusia kepada generasi lebih muda di Asia, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Awang Adek Hussin.
Beliau berkata menurut HSBC Bank, golongan kaya yang semakin berusia di Asia dijangka mewariskan harta bernilai kira-kira AS$1.9 trilion kepada generasi lebih muda pada tahun-tahun akan datang.
"Industri perancangan kewangan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini berikutan hubungan jangka panjang yang dibina selama ini," katanya pada Simposium Perancangan Kewangan 2024 anjuran Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM).
Selain itu, katanya, peluang ini bukan sahaja menjanjikan peningkatan kualiti perkhidmatan perancang kewangan tetapi juga dapat menambahkan lagi pelanggan mereka.
Awang Adek berkata minat terhadap kemampanan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur milenium, adalah sesuatu yang perlu dimanfaatkan oleh perancang kewangan.
Tinjauan oleh Institut Penyelidikan Pasaran Modal mendedahkan bahawa lebih daripada 70 peratus golongan milenium dan Gen Z kemungkinan besar akan melabur dalam pilihan yang turut menggalakkan kemampanan.
"Walaupun ramai pelabur mempunyai niat yang baik, mereka mungkin kurang pengetahuan tentang pelaburan mampan seperti konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) atau Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), yang mana kami dalam industri pasaran modal mungkin sudah biasa dengannya.
"Oleh itu, perancang kewangan mesti meningkatkan pemahaman dan membangunkan keupayaan mereka dalam bidang ini," katanya.
Bagi tujuan ini, SC dan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia akan mengeluarkan panduan komprehensif untuk membantu perancang dan perunding dalam menangani kekompleksan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI).
Panduan ini bertujuan untuk memastikan pertimbangan SRI menjadi komponen rutin nasihat kewangan.
Menurut Awang Adek, bilangan syarikat dalam sektor perancangan kewangan mencatatkan peningkatan ketara, meningkat lebih 32 peratus sejak 2015.
"Sehubungan itu, pengeluaran standard operasi firma oleh Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM) adalah satu langkah positif ke arah usaha menjadikan industri lebih profesional.
"Ia berfungsi sebagai panduan untuk menyokong syarikat dalam mewujudkan asas yang kukuh dan menggalakkan tata laku yang baik yang mengutamakan keperluan pelanggan," katanya.
Awang Adek berkata dari segi kawal selia, SC telah mengeluarkan Garis Panduan Tata Laku bagi Pengantara Pasaran Modal yang disemak semula untuk meningkatkan standard profesionalisme dan integriti bagi membantu syarikat menarik dan mengekalkan pelanggan jangka panjang.
Garis panduan yang disemak semula itu akan berkuat kuasa pada 1 Okt, 2024, memberikan masa yang mencukupi kepada pengantara pasaran modal untuk membuat persediaan bagi memenuhi keperluan baharu.
"Perancang kewangan harus menyemak dengan teliti dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan pematuhan, terutamanya berkaitan dengan obligasi nasihat peribadi," katanya.
Beliau juga menggesa perancang kewangan untuk melindungi pelanggan mereka agar tidak menjadi mangsa kepada skim dan aktiviti tidak berlesen.
Antara tempoh 2019 dan 2023, SC menerima lebih 3,000 aduan dan pertanyaan berkaitan aktiviti dan penipuan tidak berlesen, peningkatan 321 peratus daripada kurang 800 aduan pada 2019.
Menurutnya, SC juga menyedari bahawa syarikat lebih kecil mungkin berdepan kesukaran dalam pemprofilan pasaran.
"Oleh itu, saya ingin mengumumkan bahawa Capital Markets Malaysia, cabang promosi SC, akan bekerjasama dengan SC untuk menyediakan platform bagi memprofilkan syarikat perancangan kewangan.
"Ini akan menjadi titik hubungan kepada bakal pelabur untuk berhubung dengan syarikat bagi mendapatkan pelbagai keperluan perancangan kewangan," katanya.
-- BERNAMA