Malaysia dijangka kekalkan pertumbuhan KDNK yang mantap - Moody's
Bernama
Februari 20, 2018 17:23 MYT
Februari 20, 2018 17:23 MYT
Prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2017 yang mantap dijangka akan diteruskan pada 2018 termasuk dalam jangka sederhana, menyokong profil kredit kedaulatan negara ini, kata Moody's Investors Service (Moody's).
Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata profil kredit Malaysia (A3 stabil) telah didokong oleh kepelbagaian ekonomi serta dalam sumber aslinya termasuk prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh.
Purata pertumbuhan KDNK diramal sebanyak lebih kurang 5.2 peratus pada 2018, ditampung oleh pelbagai projek-projek infrastruktur besar yang dapat merangsang pelaburan awam dan swasta.
Moody's bagaimanapun, memberitahu leveraj negara yang semakin bertambah, termasuk dalam sektor isi rumah, bakal memberikan cabaran.
"Walaupun trend penurunan defisit fiskal telah dikekalkan, pelaksanaan pengukuhan fiskal seterusnya masih menjadi cabaran kredit yang utama.
"Maksudnya, struktur hutang yang bersesuaian dan simpanan domestik yang besar boleh membantu mengurangkan risiko akibat hutang kerajaan yang tinggi," katanya dan menambah walaupun terdapat lebihan akaun semasa, Malaysia akan terus terdedah kepada potensi kemeruapan dalam aliran masuk modal, akibat daripada kemasukan pelaburan asing yang agak aktif.
"Kepadaan rizab asing negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan saingannya yang diberi penarafan A,"katanya.
-- BERNAMA