Malaysia dijangka catat pertumbuhan KDNK 6.2 peratus tahun ini - StanChart

Bernama
Januari 12, 2022 08:05 MYT
Aktiviti pelaburan juga diunjur meningkat dengan kukuh dengan pembukaan semula ekonomi domestik dan aktiviti pembinaan yang lebih rancak. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka menyaksikan pemulihan yang pantas tahun ini, dengan pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) pulih kepada 6.2 peratus daripada 3.5 peratus pada 2021 dipacu oleh kejayaan program vaksinasi, kata Standard Chartered Bank (StanChart).
Ketua Ahli Ekonominya bagi ASEAN dan Asia Selatan, Lee Wee Kok berkata bank itu melihat ekonomi kembali kepada aliran pertumbuhan pada 2022, dengan kadar vaksinasi yang tinggi mengehadkan risiko sekatan pergerakan yang ketat, serta menghalang kemunculan varian yang sangat mencabar.
"Permintaan luar menjadi sumber sokongan kukuh bagi menyokong ekonomi tahun ini. Walaupun kesan asas yang tinggi mungkin mempengaruhi bacaan pertumbuhan 2022 dan kemunculan varian baharu mungkin menjadi halangan, pembukaan semula ekonomi global dilihat mampu mengekalkan permintaan luar.
"Sementara itu, permintaan domestik berkemungkinan besar akan meningkat," katanya pada Taklimat Penyelidikan StanChart Global: Prospek Separuh Pertama 2022 Global dan Malaysia yang diadakan secara maya pada Selasa.
Bagi suku ketiga 2021, perbelanjaan isi rumah masih 6.5 peratus di bawah paras yang dicatatkan pada suku keempat 2019.
"Kami menjangkakan penggunaan swasta meningkat lapan peratus tahun ke tahun pada 2022, disokong oleh kelonggaran sekatan pergerakan, prospek pekerjaan yang bertambah baik dan prospek gaji yang lebih baik.
"Aktiviti pelaburan juga diunjur meningkat dengan kukuh dengan pembukaan semula ekonomi domestik dan aktiviti pembinaan yang lebih rancak," katanya.
Mengenai dasar fiskal, Lee berkata Bajet 2022 kekal mengembang, dengan perbelanjaan -- tidak termasuk dana COVID 19 -- diunjurkan meningkat 10 peratus.
"Defisit fiskal diunjurkan mengecil kepada enam peratus daripada KDNK pada 2022 daripada 6.5 peratus pada 2021.
"Tidak termasuk dana COVID-19, defisit dijangka lebih tinggi pada 4.5 peratus pada 2022, berbanding 3.9 peratus pada 2021," katanya.
Lee berkata anggaran hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2022 dilihat sederhana, iaitu pada 14.3 peratus daripada KDNK.
"Kami melihat hasil meningkat disebabkan kutipan yang lebih baik berikutan pemulihan pertumbuhan pada 2022, serta hasil sekali sahaja daripada cukai keuntungan luar biasa, yang dianggarkan meningkat kira-kira 0.4 peratus daripada KDNK," katanya.
Dari segi perbelanjaan, perbelanjaan pembangunan dinaikkan sebanyak 22 peratus dalam Bajet 2022 kepada 4.6 peratus daripada KDNK daripada 4.1 peratus.
"Had harga bahan api boleh menimbulkan risiko perbelanjaan tambahan, tetapi ini dijangka diimbangi oleh peningkatan hasil berkaitan minyak.
"Perbahasan bajet masih berjalan pada masa ini, tetapi kami menjangkakan kurang mendapat bangkangan memandangkan blok pembangkang utama secara umumnya bersetuju untuk menyokong bajet, atau mengelak daripada mengundi mengenainya," katanya.
-- BERNAMA
#KDNK #pemulihan ekonomi #kutipan hasil kerjaan #Standard Chartered Bank
;