Malaysia dijangka capai defisit fiskal lebih rendah pada 2023 - CGS-CIMB

Bernama
Ogos 11, 2023 05:15 MYT
CGS-CIMB berkata walaupun prestasi fiskal dari tahun ke tarikh terkini sememangnya positif, ia mengingatkan agar tidak terlalu optimistik. - Gambar fail/CGS CIMB
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mampu menurunkan defisit fiskalnya berbanding 5.0 peratus daripada unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, berdasarkan data fiskal yang lebih baik yang dicatatkan semasa Jun.
CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berkata kutipan hasil kerajaan sehingga Jun adalah agak baik daripada trend sebelum ini walaupun data perbelanjaan setakat ini kekal sejajar.
"Akibatnya, defisit fiskal dicatatkan pada 2.2 peratus daripada KDNK bagi separuh pertama 2023.
"Jika trend ini diekstrapolasi, ia mungkin menunjukkan kemungkinan defisit fiskal muncul lebih baik daripada sasaran kerajaan iaitu sebanyak 5.0 peratus daripada KDNK bagi tahun ini," katanya dalam satu nota penyelidikan pada Jumaat.
Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata walaupun prestasi fiskal dari tahun ke tarikh terkini sememangnya positif, ia mengingatkan agar tidak terlalu optimistik.
Ia menjangkakan perbelanjaan boleh melonjak menjelang separuh kedua 2023 berdasarkan kepada pengumuman subsidi tarif elektrik, subsidi harga ayam serta telur dan pemberian tunai baharu.
"Walau apa pun, dengan mengandaikan keadaan fiskal menjadi lebih baik, kerajaan mungkin mempunyai tiga opsyen strategik iaitu memilih defisit fiskal yang lebih rendah berbanding anggaran 5.0 peratus daripada KDNK, (memberikan) lebih banyak ruang untuk pergerakan fiskal pengembangan jika ia berhasrat mengekalkan sasaran defisit dan mengurangkan keperluan pengenalan cukai utama dalam Bajet 2024, jika keadaan fiskal adalah lebih baik.
"Setakat ini, kami lebih cenderung untuk mengekalkan unjuran defisit fiskal sebanyak 5.0 peratus daripada KDNK tahun ini," katanya.
Firma sekuriti itu berpendapat walaupun dengan hasil yang kukuh, terdapat kecenderungan untuk kerajaan berbelanja daripada menyimpan dengan tujuan untuk mencapai agendanya, seiring dengan beberapa pengumuman pembaharuan ekonomi yang telah diumumkan Perdana Menteri.
Ia menekankan bahawa sebahagian besar prestasi cemerlang dalam kutipan hasil dari tahun hingga tarikh terkini berpunca daripada hasil berkaitan minyak dan gas (OG).
Kutipan daripada cukai pendapatan petroleum setakat suku pertama 2023 adalah 28.2 peratus daripada belanjawan tahunan, melepasi purata sejarah sekitar 16 peratus.
Begitu juga kutipan daripada royalti petroleum menyaksikan hasil yang agak kukuh iaitu 84.4 peratus daripada belanjawan tahun ini.
"Kami berpendapat sebahagian besar peningkatan ini muncul daripada penurunan nilai mata wang. Bajet 2023 mengunjurkan pasangan dolar US/ringgit berada pada RM4.40, manakala purata tahun setakat ini, berada pada paras RM4.50.
"Penurunan mata wang akan menguntungkan produk-produk OG. Berdasarkan pengiraan kami, ini membawa kepada peningkatan dalam pendapatan keseluruhan melangkaui RM660 juta," katanya.
Syarikat itu juga melihat kutipan cukai korporat berada di puncak trend sejarah, walaupun selepas mengambil kira sasaran kutipan cukai korporat yang sangat optimistik tahun ini, seperti yang dinyatakan dalam Bajet 2023.
Beberapa faktor akan menyokong jangkaan ini, iaitu peningkatan asas bercukai memandangkan program pendedahan sukarela yang dilakukan dalam strategi audit yang lepas termasuk semakan audit yang lebih aktif baru-baru ini.
Selain itu, terdapat prospek kutipan yang lebih banyak berdasarkan program pendedahan sukarela yang lebih menarik yang diperkenalkan mulai 23 Jun hingga 24 Mei lepas, katanya.
Daripada segi perbelanjaan, CGS-CIMB menekankan prestasi tahun hingga tarikh terkini setakat 23 Jun adalah sejajar dengan trend lepas, walaupun terdapat sedikit perubahan dalam subkomponen perbelanjaan.
Subsidi setakat suku pertama 2023 adalah rendah iaitu 15.8 peratus daripada jumlah anggaran tahunan berbanding purata 26.1 peratus.
"Kami mengesyaki puncanya ialah kejatuhan harga komoditi sejak awal tahun ini, yang membawa kepada perbelanjaan bahan api, minyak masak dan barangan penggunaan lain yang lebih rendah berbanding apa yang diunjurkan kerajaan.
"Sebaliknya, perbelanjaan pembangunan adalah agak kukuh pada suku pertama 2023, mencerminkan penebusan bon 1Malaysia Development Bhd bernilai US$3 bilion (US$1=RM4.59) yang dijadualkan pada Mac tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
#KDNK #kutipan hasil kerajaan #defisit fiskal #subsidi
;