Malaysia dan Vietnam muafakat kurangkan halangan bukan tarif - Tok Pa

Bernama
April 25, 2015 21:39 MYT
MUSTAPA: Malaysia dan Vietnam muafakat kurangkan halangan bukan tarif - Gambar fail
Malaysia dan Vietnam bersetuju bekerjasama untuk mempermudahkan perdagangan dua hala dengan mengurangkan halangan bukan tarif, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata perkara berkenaan adalah antara yang akan dibincangkan pada peringkat pegawai selain usaha untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pertanian, tenaga dan keselamatan makanan.
"Kita sudah bersetuju di peringkat dua hala untuk senaraikan apa yang pengusaha-pengusaha kita hadapi untuk memasuk pasaran Vietnam manakala Vietnam akan mengumpulkan maklumat tentang halangan bukan tarif yang dikenakan oleh pihak Malaysia.
"Kemudian kita akan berkongsi maklumat dan kurangkan halangan bukan tarif. Ada perkara-perkara yang memang sukar, ini diakui oleh kedua-dua belah pihak, tetapi sudah pasti ada yang boleh kita hapuskan ataupun kurangkan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama dengan Vietnam di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang akan berlangsung dua hari bermula esok.
Mustapa berkata persefahaman untuk mengurangkan halangan bukan tarif dengan Vietnam merupakan langkah permulaan sebelum memperluaskan persefahaman dengan negara anggota ASEAN yang lain.
"Kita berpendapat bahawa kalau adanya hubungan baik di peringkat dua hala di antara negara-negara ASEAN, maka ini akan menyumbang kepada pencapaian matlamat AEC.
"Maka kalau kita dapat lakukan perkara ini dengan negara-negara ASEAN yang lain maka sudah pasti ia dapat membantu mengurangkan halangan bukan tarif," katanya.
Antara halangan bukan tarif, kata Mustapa termasuklah keperluan pelabelan, bahasa, ujian dan prosedur termasuklah masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu prosedur.
Katanya satu pautan khas pada laman sesawang ASEAN akan diwujudkan pada penghujung tahun ini untuk membolehkan syarikat dari ASEAN mengemukakan aduan terhadap mana-mana negara anggota berkenaan isu perdagangan dan pelaburan.
"Kita telah bersetuju dengan mekanisme ini dan dengan proses yang lebih terbuka ini, kita berharap kita boleh menyelesaikan beberapa isu (yang dihadapi syarikat ASEAN)," katanya.
Pertemuan peringkat menteri ekonomi di antara Malaysia dan Vietnam berlangsung setiap dua tahun dengan pertemuan terakhir berlangsung pada Februari 2013 manakala pertemuan seterusnya dijadualkan pada 2017.
Terdahulu, Mustapa dan Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Dr Vu Huy Hoang menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SME Corporation Malaysia dan Agensi Pembangunan Perindustrian Serantau Vietnam (ARID).
SME Corp diwakili oleh Ketua Pengarah Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim manakala ARID diwakili oleh Ketua Pengarahnya Do Xuan Ha.
Kata Mustapa perjanjian berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam memajukan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi.
Sidang Kemuncak ASEAN yang akan bersidang di Kuala Lumpur dan Langkawi akan memberi tumpuan kepada kemajuan ke arah mewujudkan Komuniti ASEAN menjelang akhir 2015 dan hala tuju seterusnya untuk menggerakkan kumpulan serantau itu ke tahap lebih tinggi.
ASEAN dianggotai 10 negara, iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
#AEC #ASEAN #mustapa #Vietnam
;