Malaysia dan India meterai enam MOU, satu perjanjian tingkat hubungan dua hala

Bernama
April 1, 2017 22:34 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat dua hala dengan India, yang diketuai oleh Perdana Menterinya, Narendra Modi bersempena kunjungan rasmi enam hari beliau ke India, hari ini. - Foto Bernama
Malaysia dan India hari ini menandatangani enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu perjanjian yang membuka ruang ke arah peningkatan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
India dan Malaysia menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Narendra Modi, menyaksikan majlis pemeteraian berkenaan di Hyderabad House di ibu negara India.
Majlis itu diadakan bersempena lawatan rasmi Najib selama enam hari ke negara itu.
Antara MoU berkenaan ialah mengenai cadangan pembangunan kilang pengeluaran urea dan amonia di Malaysia serta pembelian lebihan urea dari Malaysia ke India.
Projek berkenaan dijangka melibatkan kos sebanyak US$2 bilion, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 2.5 juta tan setahun dan khusus untuk pasaran India.
MIGHT Technology Nurturing Sdn Bhd juga menandatangani perjanjian dengan Lembaga Pembangunan Ekonomi Andhra Pradesh (APEBD) bagi pelaksanaan Taman Teknologi Generasi Keempat di Andhra Pradesh.
Taman berkenaan dijangka dapat menarik pelaburan swasta sebanyak US$100 juta serta penglibatan 75 perusahaan kecil dan sederhana, dan menawarkan 5,500 pekerjaan.
Kedua-dua negara turut menandatangani perjanjian perkhidmatan udara dua hala yang akan meningkatkan kesalinghubungan udara.
MoU lain ialah antara Persatuan Universiti-universiti India (AIU), New Delhi dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengenai Pengiktirafan Bersama Kelayakan Pendidikan bagi menggalakkan pelajar menuntut dalam semua kursus di kedua-dua negara.
Turut dimeterai ialah MoU antara Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan Institut Pembangunan Keusahawanan India, serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Institut Teknologi Kimia (ICT) bagi kerjasama dalam pembangunan teknologi dalam bidang minyak sawit.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala antara Najib dan Modi, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka kemungkinan meningkatkan kerjasama dalam sektor kewangan.
Ia termasuk melalui penyertaan dalam pasaran modal masing-masing serta pemberian lesen perbankan komersial.
India juga mengalu-alukan inisiatif Malaysia untuk memperluaskan program tanpa visa bagi warga India yang mengunjungi Malaysia berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Mac, 2018, di bawah Pendaftaran dan Maklumat Perjalanan Elektronik (eNTRI).
India turut berpuas hati dengan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dalam projek jalan di Rajasthan dan berharap dapat melaksanakan projek infrastruktur di sana dan negeri lain oleh syarikat Malaysia.-- Bernama
#Diplomatic #ekonomi #India #Najib Razak #Narendra Modi #New Delhi #Perdana Menteri