Malaysia dalam kedudukan terbaik sebagai hab serantau CCUS - MIDF Amanah
Bernama
Julai 15, 2024 06:00 MYT
Julai 15, 2024 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan terbaik sebagai hab serantau Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), menyumbang kepada amalan mampan dalam sektor minyak dan gas seperti yang ditekankan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kata MIDF Amanah Investment Bank.
Di bawah NETR, Malaysia menyasarkan untuk menubuhkan tiga hab CCUS menjelang 2030 dengan kapasiti penyimpanan bersama sehingga 15 juta tan metrik setahun (mTpa), kira-kira 300,000 tong sehari (bpd).
Malaysia telah mengenal pasti 16 kawasan penyimpanan yang sesuai untuk CCUS iaitu satu set kaedah untuk menghentikan karbon dioksida (CO2) daripada sampai ke atmosfera atau menghapuskannya.
MIDF Amanah dalam nota penyelidikannya berkata bidang berkenaan menawarkan anggaran kapasiti penyimpanan sebanyak 46 trilion kaki padu untuk simpanan karbon yang selamat.
Antaranya, 11 berada di luar pesisir di Sabah dan Sarawak manakala lima lagi berada di luar pesisir di Semenanjung Malaysia termasuk Terengganu dan Pahang.
Sehubungan itu, Rang Undang-Undang (RUU) CCUS akan dibentangkan di Parlimen November depan dan dijangka dimuktamadkan pada 2025, ia akan memberi manfaat kepada banyak syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE).
RUU itu adalah untuk mengawal selia aktiviti dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.
Ia juga boleh mewajibkan permohonan permit disatukan pada masa depan untuk projek CCUS yang boleh membantu lagi dalam perlindungan alam sekitar dan keselamatan tenaga kerja serta menambahkan penyelesaian CCUS lain kepada negara seperti penyerap karbon di hutan hujan tropika dan tanah yang tidak digunakan.
Terengganu antara negeri sesuai untuk CCUS
Terengganu menyerlah antara negeri dicadangkan untuk CCUS kerana telaga minyak luar pesisir dan kemudahan terminal sedia ada di Kerteh, kata MIDF Amanah.
CCUS menggunakan kemudahan serupa digunakan dalam industri minyak dan gas, oleh itu kos untuk kemudahan CCUS yang telah siap - terminal, saluran paip, kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO), kapal pengangkut karbon dioksida cecair (LCO2), pelantar luar pesisir, pembangunan dan penyelenggaraan lapangan dan tenaga kerja adalah berjumlah kira-kira RM20 bilion kepada RM30 bilion.
Menerusi kemudahan di Kerteh, kos binaan baharu bukan sahaja jauh lebih rendah malah kecekapan infrastruktur operasi sedia ada berpotensi menarik lebih banyak pelaburan ke negeri itu dan industri, katanya.
Selain itu, Terengganu mempunyai ekosistem sumber tenaga konvensional dan boleh diperbaharui yang boleh memanfaatkannya sebagai negeri yang melaksanakan CCUS, meningkatkan lagi kedudukannya sebagai salah satu hab serantau utama untuk penyelesaian tenaga mampan.
Syarikat seperti MISC akan mendapat manfaat
Untuk kemudahan dan pengangkutan luar pesisir CCUS, MIDF Amanah berkata ia menjangka MISC Bhd akan memainkan peranan penting dalam operasi CCUS Malaysia.
"Memandangkan CCUS melibatkan pemerangkapan dan pengangkutan CO2 dari kemudahan industri dari lokasi sumber ke tapak penyimpanan atau penggunaan, MISC berpotensi untuk menyumbang dengan menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan cekap untuk CO2 yang diperangkap menerusi kapal pengangkut LCO2."
Selain itu, anak syarikat MISC, Malaysian Marine and Heavy Engineering (MMHE) telah menunjukkan peranannya dalam menyediakan binaan baharu kemudahan luar pesisir CCUS, MMHE memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) untuk projek penyimpanan pemerangkapan karbon Kasawari .
Melalui kedua-dua kepakaran ini, MIDF Amanah berpendapat MISC berpotensi menjadi salah satu peneraju dalam mewujudkan hab serantau CCUS di Malaysia.
Harga sasaran MISC adalah RM9.75.
Pada 9.05 pagi, harga saham MISC tidak berubah pada RM8.64.
Risiko penurunan
Risiko penurunan kepada CCUS ialah kos tinggi untuk membangunkan dan menggunakan infrastruktur, ketidakpastian penyimpanan bagi tempoh jangka panjang, kaedah pengangkutan mencabar serta persepsi dan kesan tidak seimbang.
"Kami berpendapat bahawa RUU dicadangkan boleh mengurangkan risiko ini dengan ketara dari semasa ke semasa.
"Secara keseluruhan, kami RUU dicadangkan bermanfaat untuk mempercepatkan penyelesaian CCUS bagi membantu banyak sektor dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebagai sebahagian daripada penyelesaian kemampanannya.
CCUS juga boleh membantu sektor pengangkutan minyak dan gas dan marin kerana ia sering dilihat sebagai industri yang sukar mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di bawah tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Melalui dasar yang lebih kukuh dan jelas mengenai CCUS, kami percaya bahawa operasi CCUS dengan kesan limpahan kepada keseluruhan industri minyak dan gas, ia akan menarik pelaburan kepada syarikat, negeri dan negara seterusnya memastikan peralihan tenaga seperti dicadangkan dalam NETR akan berjalan lancar seperti dirancang," katanya.
-- BERNAMA