Malaysia-China perlu tingkat kerjasama swasta, R&D
Harits Asyraf Hasnan
Disember 21, 2020 13:50 MYT
Disember 21, 2020 13:50 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan China dilihat perlu meningkatkan peluang kerjasama terutama dalam rantaian pengeluaran bersama seiring cabaran ekonomi susulan pandemik COVID-19.
Wartawan Radio Antarabangsa China (CRI), Zhang Hong berkata kerjasama yang wujud ketika ini perlu terus dipertingkatkan dalam mewujudkan kepercayaan di peringkat global.
"Kalau kita mengambil contoh sekarang, Huawei juga ada bekerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi dari Malaysia.
"Mereka juga menyediakan komponen-komponen kepada syarikat di bawah Huawei dan produk tersebut akan mengiringi jualan produk Huawei ke seluruh dunia.
"Jadi kita mesti merapatkan kerjasama dalam rantaian pengeluaran yang mantap dan boleh terjamin serta dipercayai oleh pelbagai syarikat antarabangsa," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Tambah beliau, hasil kerjasama kajian dan pembangunan (R&D) antara Malaysia-China dilihat mampu memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa seperti menembusi pasaran Amerika Syarikat, Kanada dan benua Eropah.
"Sekarang sudah ada kerjasama dalam bidang kereta seperti antara Geely dan Proton.
"Pada masa depan, saya rasa ini menyediakan satu peluang baharu iaitu meneroka kenderaan tenaga baharu atau elektrik.
"Sekarang China mempunyai teknologi yang cukup baik khususnya dalam teknologi bateri sekaligus boleh menjadi cabaran kepada pelbagai syarikat automotif yang amat unggul dalam bidang ini seperti dari Jerman, AS dan Jepun," katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin berkata kerajaan mengharapkan kerjasama sektor swasta untuk bersama dalam membawa ekonomi negara ke jalan pemulihan yang mantap, lestari dan inklusif serta tidak meminggirkan sesiapa.
Berucap semasa ucap tama Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia (WCES) 2020, Muhyiddin berkata ia sekali gus menjadi komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat menjadi fokus utama dalam pelan pemulihan ekonomi negara.
#Malaysia
#China
#perdagangan
#pelaburan
#ekonomi
#kajian dan pembangunan
#pandemik
#COVID-19
#Amerika Syarikat
#Jerman
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#kerjasama swasta