Malaysia catat pertumbuhan 31% untuk pasaran pekerjaan bagi Jun 2022
Dagang News
Julai 15, 2022 12:00 MYT
Julai 15, 2022 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran pekerjaan Malaysia merekodkan pertumbuhan 31% dalam aktiviti pengambilan pekerjaan pada Jun 2022.
Indeks Pekerjaan Monster (MEI) menunjukkan berlakunya peningkatan sebanyak 15% untuk aktiviti pengambilan pekerjaan untuk tempoh enam bulan lalu manakala dari bulan ke bulan, terdapat peningkatan sebanyak 5% kepada permintaan berterusan dalam pasaran pekerjaan.
Walaupun berlaku sekatan sebelum ini selain kenaikan harga barang dan kekurangan tenaga pekerja, industri peruncitan Malaysia bergerak ke arah pemulihan dengan baik selepas merekodkan pertumbuhan sebanyak 321% tahun ke tahun dalam aktiviti pekerjaan pada Jun 2022.
Selain itu, jualan runcit di negara ini diunjurkan berkembang pada kadar 25.7% pada suku semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com - APAC & Gulf, Sekhar Garisa berkata, kebanyakan syarikat sedang meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang digital bagi memenuhi keperluan di peringkat global.
"Pasaran pekerjaan di Malaysia telah mula mencatatkan pengembangan terutama sektor yang terjejas teruk sebelum ini seperti pelancongan, hospitaliti dan peruncitan.
"Dengan cara kerja yang lebih fleksibel dalam pasaran pekerjaan, kami optimis untuk melihat ia terus berkembang pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Segmen hospitaliti (meningkat 65%) juga menyaksikan aliran masuk besar permintaan untuk profesional dalam industri pelancongan dengan kadar penembusan pengguna menghampiri tahap sebelum pandemik.
Segmen logistik, pengangkutan, perkapalan dan marin (naik 51%) juga mencatatkan lonjakan besar dalam aktiviti pengambilan pekerjaan diikuti sektor perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans (BFSI) sebanyak 32%.
Antara sektor yang menjanjikan perkembangan positif pada Jun 2022 termasuk sektor pembuatan dan automotif yang mencatatkan peningkatan 4% diikuti teknologi maklumat dan telekomunikasi (peningkatan 5%), pengiklanan dan media (peningkatan 16%) dan kejuruteraan, pembinaan dan hartanah (penigkatan 19%). - DagangNews.com