Malaysia cadang pertingkat, perkukuh sumbangan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia

Bernama
September 27, 2023 11:38 MYT
Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan pendirian Malaysia semasa Meja Bulat Perniagaan Gabenor di Sharm El-Sheikh, Mesir, baru-baru ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan supaya Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) menerapkan mekanisme pembiayaan yang inklusif serta memenuhi keperluan khusus negara-negara membangun.
Kenyataan Malaysia itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan semasa Meja Bulat Perniagaan Gabenor pada Isnin 25 Sept, 2023.
Program itu diadakan pada mesyuarat tahunan AIIB yang berlangsung dari 25 hingga 26 Sept, 2023 di Sharm El-Sheikh, Mesir.
Beliau turut menyatakan pendirian Malaysia supaya AIIB meneroka pilihan pembiayaan alternatif seperti geran dan mekanisme kewangan campuran, selaras dengan prinsip perkongsian risiko yang saksama dalam kewangan Islam, menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), di sini, pada Rabu.
MOF menjelaskan, ini dapat menggantikan model pembiayaan awam seperti pinjaman penuh untuk membantu negara-negara membangun menerima pakai amalan mesra iklim.
Usaha ini akan mempercepat peralihan negara tersebut ke arah ekonomi rendah karbon, tambahnya.
Menurut MOF, tambahan lagi, masyarakat yang terkesan dengan perubahan iklim akan menerima manfaat melalui strategi adaptasi yang dapat mengurangkan risiko dan bahaya iklim seperti banjir, tanah runtuh atau ribut taufan.
Mesyuarat tahunan kali kelapan bertemakan Sustainable Growth in a Challenging World (Pertumbuhan Kemampanan dalam Dunia yang Mencabar) itu diadakan buat kali pertama di benua Afrika serta secara fizikal selepas pandemik.
AIIB dianggotai oleh 107 negara anggota dan berfungsi sebagai bank pembangunan multilateral yang bertujuan menyokong pembangunan ekonomi mampan, di samping menggalakkan kerjasama serantau dalam menangani isu dan cabaran pembangunan negara anggota.
Malaysia menganggotai AIIB pada 2016. - BERNAMA
#Malaysia #Bank Pelaburan Infrastruktur Asia #Meja Bulat Perniagaan Gabenor #Ahmad Maslan
;