'Malaysia boleh capai pertumbuhan tinggi jika dasar Ekonomi Madani dapat dilaksanakan tepat pada masa'
Bernama
Julai 27, 2023 05:00 MYT
Julai 27, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sekiranya semua dasar Ekonomi Madani yang diumumkan kerajaan semalam dapat dilaksanakan tepat pada masanya, demikian menurut pandangan pakar-pakar ekonomi.
Mereka percaya bahawa Ekonomi Madani adalah satu bentuk pelan hala tuju ekonomi yang akan menjelaskan cabaran utama yang perlu diatasi oleh negara, sasaran yang ingin dicapai dan hasil yang ingin dilihat.
"Ia merangkumi bidang yang luas antara lainnya tadbir urus, pendigitalan, disiplin fiskal, jaminan makanan dan pendapatan progresif," kata ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, kerangka ekonomi yang menggariskan dua fokus utama iaitu menstrukturkan semula ekonomi Malaysia hingga ke tahap menjadi peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Anwar dalam ucapan awalnya berkata Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan 5 peratus tahun ini dan seterusnya tidak mustahil untuk mencapai 6.0 peratus melalui pembaharuan.
Mengulas perkara ini, Mohd Afzanizam berkata ini bermakna negara berpotensi mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sekiranya semua dasar dapat dilaksanakan tepat pada masanya.
"Selain itu, sasaran defisit fiskal sebanyak 3.0 peratus juga dikekalkan dan ia dilihat sebagai sasaran sejagat. Pencapaian sasaran itu agak kritikal kerana ia melibatkan rasionalisasi subsidi dan percukaian perlu dirangka supaya mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai," katanya.
Menurutnya, perkara seterusnya yang perlu dilakukan ialah memastikan maklumat itu sampai kepada seluruh masyarakat diikuti dengan pelaksanaan yang tepat pada masa.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa kemas kini secara berkala mengenai inisiatif itu juga penting kerana pelabur, perniagaan dan masyarakat ingin mengetahui kedudukan negara pada masa ini.
"Ini akan membantu mereka membentuk jangkaan yang munasabah pada hasilnya kelak," katanya.
Ketua ahli ekonomi kumpulan Maybank, Suhaimi Ilias berkata, inti naratif ekonomi MADANI ialah menangani isu struktur yang dihadapi ekonomi Malaysia, termasuk perangkap pendapatan sederhana, penurunan potensi pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan daya saing global dan menambah baik infrastruktur dan perkhidmatan awam.
"Ekonomi Madani menyasarkan untuk meningkatkan purata pertumbuhan ekonomi tahunan Malaysia kepada 5.5 peratus hingga enam peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding purata 4.7 peratus setahun sejak 1998.
"Inisiatif itu juga bertujuan untuk meningkatkan dan menambah baik kedudukan Malaysia dalam kedudukan global dari segi saiz dan kerumitan ekonomi, daya saing, pembangunan manusia dan indeks persepsi rasuah untuk meningkatkan daya tarikan negara bagi menarik pelaburan.
"Ini penting, terutamanya dalam mengukuhkan industri dan sektor pertumbuhan sedia ada seperti elektronik, serta menggalakkan bidang pertumbuhan baharu dan pemacu ekonomi masa depan seperti tenaga boleh baharu dan ekonomi digital," katanya.
Suhaimi berkata semua ini adalah dengan matlamat utama untuk memastikan rakyat boleh dan akan mendapat manfaat melalui pekerjaan yang berkualiti dengan gaji yang lebih tinggi serta menambah baik sistem keselamatan sosial dan jaringan keselamatan untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup.
Sementara itu, Ahli Majlis Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia Datuk Dr AT Kumararajah semasa program Bernama TV "Apa Khabar Malaysia- Khas" merumuskan bahawa secara keseluruhannya naratif Ekonomi Madani yang di sampaikan Perdana Menteri semalam adalah amat jelas dan tidak mempunyai ketirisan atau kelemahan.
"Bagaimanapun amat penting untuk kita mengamalkan 5P iaitu: Penerimaan, Pemahaman, Perancangan, Pelaksanaan dan juga Penglibatan pemegang taruh bagi merelisasikan naratif tersebut," katanya.
Beliau juga berkata pelan dan program yang dicadangkan semalam sebenarnya telahpun ada dalam rancangan sebelum ini.
"Tetapi sasaran kita telah dinaikan kepada sasaran yang lebih tinggi, dan bagi saya, kita masih mampu mencapai sasaran-sasaran tersebut," katanya.
Ekonomi MADANI menetapkan tujuh penanda aras utama sebagai sasaran jangka masa sederhana yang ingin dicapai.
Pertama, Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia; Kedua: Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia; Ketiga: Peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan; (sasaran RMKe-12 adalah 40 peratus menjelang 2025).
Sasaran keempat adalah menaikan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh kepada 60 peratus, Kelima: Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia; Keenam: Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia; dan Ketujuh: Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah.
-- BERNAMA