Malaysia berpotensi jadi hab perniagaan untuk Global South - Liew
Bernama
Julai 26, 2024 07:00 MYT
Julai 26, 2024 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia, terutamanya Greater Kuala Lumpur, berpotensi menjadi hab perniagaan atau ibu pejabat serantau untuk Global South, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Beliau berkata Malaysia mempunyai pemimpin perniagaan dan pekerja yang berpengalaman yang telah bekerjasama dengan industri Barat, Jepun dan Korea selama beberapa dekad, selain mempunyai hubungan budaya yang kukuh dengan perniagaan Arab, Cina, India dan antarabangsa yang lain.
"Diakui, kita perlu meningkatkan hubungan dengan Afrika dan Amerika Selatan sebagai sebuah negara dan melalui perniagaan kita.
"Tidak banyak negara yang kaya dengan budaya seperti Malaysia. Kita perlu memanfaatkan kekuatan ini untuk membantu kesalinghubungan dunia yang pelbagai dan menjalankan perniagaan antara satu sama lain," katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) pada Jumaat.
Liew berkata seorang pemerhati ekonomi Malaysia memberitahu beliau bahawa dalam tempoh 20 tahun yang lepas, kerajaan semasa adalah kerajaan yang jelas dalam matlamatnya dengan agenda ekonomi yang dapat difahami.
"Sudah tentu, kejelasan mengenai ekonomi tidak bermakna negara kita akan menjadi kaya dalam sekelip mata dan semua masalah lalu akan dapat diselesaikan sepenuhnya," katanya.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa pasaran dan pelabur menghargai kejelasan matlamat dasar.
Katanya pada tahun lepas, pelaburan yang diluluskan meningkat kepada paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM329.5 bilion dan ekonomi dianggarkan berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2024.
"Kini tidak mustahil untuk menjangka pertumbuhan hampir kepada lima peratus pada tahun ini, tinggi sedikit pada 2025, malah melebihi enam peratus pada 2026 jika kita bertindak secara bersama dan jika keadaan global menyebelahi kita.
"Rangka Kerja Ekonomi MADANI telah menyatakan dengan jelas mengenai keperluan untuk menaikkan siling dan menaikkan lantai serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat jelas dalam pendekatannya.
"Negara tidak akan berkembang jika rakyat tidak berkongsi hasil pertumbuhan," katanya.
-- BERNAMA