Malaysia berada di landasan tepat capai unjuran KDNK 4.0-5.0 peratus tahun ini - Tengku Zafrul

Bernama
Ogos 19, 2024 07:00 MYT
Tengku Zafrul berkata antara faktor peningkatan KDNK bagi suku kedua adalah peningkatan ketara pelaburan swasta kerana pelabur semakin yakin dengan prospek ekonomi negara. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 merupakan petanda baik untuk Malaysia mencapai unjuran KDNK sekitar 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara faktor peningkatan KDNK bagi suku kedua adalah peningkatan ketara pelaburan swasta kerana pelabur semakin yakin dengan prospek ekonomi negara.
"Kalau kita tengok, pelaburan swasta meningkat 9.2 peratus pada suku pertama 2024 dan pada suku kedua pula naik 12 peratus, manakala sektor pembuatan pada suku pertama naik 1.9 peratus, dan suku kedua naik 4.7 peratus.
"Alhamdulillah, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 sudah mula menampakkan hasil," katanya menerusi hantaran di platform 'X' malam tadi.

Unjuran awal KDNK Suku Pertama 3.9%. Prestasi sebenar? 4.2%! Unjuran awal KDNK Suku Kedua 5.8%. Prestasi sebenar? 5.9%! Kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai unjuran KDNK 4 - 5% bagi tahun ini. Apakah faktor kejayaan ini? #KDNK #pelaburan #perdagangan #industri pic.twitter.com/j4CXaptdWP

— Tengku Zafrul (@tzafrul_aziz) August 19, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Suku kedua 2024 mencatatkan pertumbuhan eksport bersih sebanyak 3.4 peratus, World Semiconductor Trade Statistics pula meramalkan peningkatan 16 peratus bagi permintaan semikonduktor tahun ini.
"Insya-Allah, pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional akan memastikan Malaysia terus menjadi antara pemain utama industri semikonduktor di peringkat global," katanya.
Tengku Zafrul berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus berusaha memajukan industri tempatan, meningkatkan perdagangan serta menarik pelaburan berkualiti bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.
- BERNAMA
#KNDK Malaysia #pelaburan swasta #ekonomi negara #Tengku Zafrul
;