Malaysia belum bersedia laksana program biodiesel B10
Dania Zainuddin
Jun 29, 2015 15:49 MYT
Jun 29, 2015 15:49 MYT
Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan program biodiesel B10 kerana spesifikasi enjin kenderaan hanya mampu berfungsi menggunakan biodiesel B7.
Pengerusi Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata kerajaan perlu mengkaji semula pelaksanaan program B10 ini memandangkan potensinya merosakkan lagi enjin kenderaan.
"Pemain industri masih belum bersedia dengan pelaksanaan program B10, dan setakat ini industri hanya boleh menggunakan B7.
Dari segi spesifikasi, enjin kenderaan akan mudah rosak dan waranti juga tidak dapat disediakan," kata Aishah dalam satu wawancara melalui telefon dengan Bisnes AWANI
Syarikat-syarikat automobil dan persatuan yang berkaitan telah menyuarkan kebimbangan mereka mengenai pelaksanaan program biodiesel B10 menjelang Oktober ini.
Sebelum ini, BMW Malaysia berkata hasil kajian penggunaan biodiesel B10 sudah menunjukkan masalah teknikal yang membabitkan asid lemak sawit methyl ester yang menipiskan minyak motor kepada lumpur minyak yang terus mengurangkan pelinciran dan ini memberi risiko kerosakan enjin yang tinggi.
Volkswagen Malaysia berkata kesan buruk penggunaan biodiesel B10 kepada enjin kenderaan akan melupuskan waranti kenderaan tersebut.
Institut Automotif Malaysia menekankan pelaksanaan program ini perlu dibincang secara terperinci serta pertimbangan yang lebih lanjut.
Sementara itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata kerajaan masih dalam perbincangan mengenai mandat B10. Langkah pelaksanaan program itu adalah bagi menyokong sektor minyak sawit dan mengawal inventori serta mengurangkan pergantungan ke atas bahan api.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kerajaan menyasarkan untuk melaksana mandat B15 menjelang tahun 2020.