Malaysia antara destinasi utama bagi pembeli China, ekspatriat Barat - Juwai IQI
Bernama
Julai 24, 2023 04:00 MYT
Julai 24, 2023 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia lebih diingini oleh ekspatriat dan pelabur di seluruh dunia sebagai destinasi pelaburan hartanah berbanding sebelum ini memandangkan negara telah pulih daripada COVID-19 untuk menjadi tempat yang lebih dinamik dan positif, menurut syarikat teknologi hartanah, Juwai IQI.
Juwai IQI menjelaskan pembeli rumah China menaikkan kedudukan Malaysia kepada destinasi keenam paling popular pada separuh pertama 2023 manakala kaji selidik meliputi 12,000 responden oleh organisasi ekspatriat global, InterNations, mendapati ekspatriat Barat meletakkan kedudukan Malaysia di tempat keempat terbaik di dunia.
Malaysia dan negara Asia Tenggara lain turut membentuk empat daripada 10 negara teratas yang menerima pelaburan hartanah China paling banyak pada separuh pertama 2023, menurut laporan terbaru berdasarkan bilangan pertanyaan pembeli yang diterima melalui platform Juwai IQI.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik, disokong oleh kualiti kehidupan, kehidupan mampu milik dan ketersambungan digital serta sebagai sebuah negara berbilang bahasa, justeru, kalangan pengunjung dunia berasa selesa di sini.
"Apabila melibatkan pembeli China, mereka mempunyai simpanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang boleh digunakan untuk pembelian hartanah di luar negara. Menurut statistik rasmi, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 sahaja, deposit simpanan rakyat China melonjak nilainya sebanyak 26.3 trilion renminbi (US$3.6 trilion)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Juwai IQI memaklumkan rakyat China juga ialah peserta paling ramai di dunia dalam program Visa Emas, dengan pemohon China membentuk 46 peratus daripada jumlah visa yang diluluskan di Australia dan Greece serta 31 peratus di Portugal.
Rakyat China juga menyumbang bahagian yang sama besar dari segi kewarganegaraan dan pemastautin berprofil rendah melalui program pelaburan, dengan 25 peratus daripada semua Visa Emas yang dikeluarkan oleh Antigua dan Barbuda telah diberikan kepada warganegara China.
-- BERNAMA