Malaysia akan dikekalkan dalam WGBI - FTSE Russell

Bernama
Mac 30, 2021 12:58 MYT
FTSE Russell amat menggalakkan BNM untuk terus berusaha meningkatkan pengalaman peserta antarabangsa dalam pasaran pendapatan tetap Malaysia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia akan dikeluarkan daripada Senarai Pemantauan FTSE Russell bagi potensi pengelasan semula tahap ketercapaian pasarannya daripada '2' kepada '1' dan akan dikekalkan dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) FTSE.
Menerusi Pengumuman Pengelasan Negara Pendapatan Tetap FTSE bagi Mac 2021 yang dikeluarkan pada Isnin, FTSE Russell memuji Bank Negara Malaysia (BNM) atas inisiatif yang telah dilaksanakan dan sedang dijalankan untuk menangani kebimbangan pelabur asing apabila mengakses pasaran bon kerajaan Malaysia.
Menurutnya langkah penambahbaikan pasaran baru-baru ini meliputi, tetapi tidak terhad, usaha menambah baik mudah tunai bon pasaran sekunder serta memperkukuh struktur dan mudah tunai pasaran pertukaran asing.
Mudah tunai bon pasaran sekunder ditingkatkan melalui lebih banyak pembukaan semula terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), komitmen untuk menukar, seperti diperlukan, bon tidak mudah tunai dikeluarkan dan digantikan dengan lebih banyak bon mudah tunai pada 2021.
Semua ini menjadikan lebih banyak MGS tersedia menerusi repo justeru meningkat jumlah dagangan dengan ketara selain memperkenalkan penyelesaian secara fizikal (dengan opsyen penyelesaian tunai) bagi niaga hadapan MGS serta menyediakan ruang lindung nilai kadar faedah tambahan, di samping untuk sekali gus meningkatkan mudah tunai bon, menurut penyedia indeks itu.
FTSE Russell menjelaskan struktur dan mudah tunai pasaran pertukaran asing juga diperkukuh lagi melalui peningkatan ketelusan harga selepas waktu dagangan tempatan melalui program Pejabat Luar Negara yang Dilantik (AOO) yang kini kekal.
Oleh itu, langkah ini memperluas program lindung nilai dinamik dengan merangkumkan bank-bank amanah Jepun dan penjaga global serta memperkemas dokumentasi pertukaran asing dan proses penelitian terperinci, tambahnya.
Menurut FTSE Russell ia gembira atas penglibatan yang sangat membina dengan BNM dan beberapa inisiatif positif yang telah diperkenalkan sejak dua tahun lepas.
"FTSE Russell amat menggalakkan BNM untuk terus berusaha meningkatkan pengalaman peserta antarabangsa dalam pasaran pendapatan tetap Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#WGBI #ftse #Russell Watch #senarai pemantauan #BNM #Bank Negara Malaysia #bank #Jepun #kerajaan #Malaysia #pelabur asing #pasaran #bon kerajaan #mudah tunai #pertukaran asing
;