Malaysia Airlines perluas ujian pas perjalanan IATA ke laluan Tokyo, Melbourne
Bernama
Mei 27, 2021 13:39 MYT
Mei 27, 2021 13:39 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines memperluas ujian Pas Perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) untuk melibatkan penumpang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tokyo-Narita dan Melbourne.
Malaysia Airlines adalah antara syarikat penerbangan global pertama yang menjalankan ujian Pas Perjalanan IATA -- sebuah aplikasi telefon mudah alih bagi pengesahan kesihatan secara digital, menerajui langkah ke arah menyambung semula perjalanan global, katanya.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan nasional itu berkata selain pengguna iOS, penumpang yang menggunakan peranti Android juga akan dapat menggunakan aplikasi tersebut, menjadikannya antara syarikat penerbangan pertama di dunia yang menguji versi Android untuk Pas Perjalanan IATA.
"Selepas selesai ujian pertama di laluan Kuala-Lumpur-London (KUL-LHR) pada 29 April, 2021, ujian yang akan datang akan diteruskan pada 30 Mei, 2021 ke atas MH129 di laluan Kuala Lumpur-Melbourne, yang akan diikuti oleh penerbangan lain yang dijadualkan," katanya.
Dengan menggabungkan semua maklumat yang diperlukan oleh penumpang untuk melakukan perjalanan, termasuk keputusan ujian PCR mereka dan status vaksinasi dalam aplikasi yang mudah dan senang dilayari, Pas Perjalanan IATA bertujuan menjadi aspek penting untuk menyambung semula perjalanan antarabangsa dengan selamat.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines Lau Yin May berkata perluasan ujian perintis Pas Perjalanan IATA akan memberi maklumat kepada syarikat penerbangan mengenai langkah untuk memastikan pengalaman perjalanan penumpang lancar.
"Syarikat penerbangan terus komited untuk memastikan ia kekal berada di barisan hadapan dalam inisiatif industri untuk membuka semula perjalanan antarabangsa," katanya.
Penumpang yang melakukan perjalanan ke Melbourne dan Tokyo-Narita dalam tempoh beberapa minggu akan datang telah diminta untuk menyemak e-mel mereka bagi pelawaan untuk mengambil bahagian dalam ujian tersebut.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai komitmen Malaysia Airlines untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang selamat kepada penumpang semasa pandemik ini, layari https://www.malaysiaairlines.com/my/en/campaign/fly-with-confidence.html.
-- BERNAMA
#malaysia airlies
#pas perjalanan IATA
#COVID-19
#pengesahan kesihatan
#digital
#perjalanan global
#pandemik
#syarikat penerbangan