Malaysia Airlines perluas destinasi bagi pilihan tambang Kelas Ekonomi

Astro Awani
Februari 18, 2020 22:18 MYT
Tambang yang perkenalkan ini akan mewujudkan pengalaman tempahan yang lebih peribadi dan mudah.
Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines memperluas destinasi bagi pilihan tambang fleksibel Kelas Ekonominya kepada negara-negara ASEAN dan rantau Asia Timur, bermula hari ini.
Manfaat pilihan tambang fleksibel itu yang sebelum ini hanya boleh dinikmati oleh penumpang penerbangan domestik sahaja, membolehkan pelanggan memilih antara tiga pilihan - Lite, Basic dan Flex.
Memetik kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail, syarikat sentiasa berada di hadapan untuk menawarkan tambang dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seluruh dunia.
“Ketika dunia bergerak semakin ke hadapan, begitu juga pelanggan kami, masing-masing dengan karakter, personaliti dan kehidupan yang unik.
“Saya percaya tambang yang kami perkenalkan ini akan mewujudkan pengalaman tempahan yang lebih peribadi dan mudah, ditambah dengan Hospitaliti Malaysia yang tiada tandingannya,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambang Flex menyediakan keselesaan terbaik dalam Kelas Ekonomi, dengan kelebihan bagasi daftar-masuk 30kg, naik taraf Enrich Miles dan kebolehan memilih tempat duduk.
Sementara tambang Basic tidak mendapat kelebihan memilih tempat duduk, dan tambang Lite pula cukup dengan bagasi kabin 7kg serta makanan percuma, sesuai untuk penumpang harian.
Butiran lebih lanjut ada di laman web rasmi Malaysia Airlines, malaysiaairlines.com.
#ASEAN #asia timur #kelas ekonomi #Malaysia Airlines #pelancongan #penerbangan #penumpang
;