Malaysia Airlines memeterai MoU dengan Piedmont Propulsion Systems

Bernama
Ogos 17, 2020 20:58 MYT
Malaysia Airlines berkata ia bertanggungjawab menyediakan kemudahan fizikal serta sumber manusia di KLIA untuk memudahkan operasi pembaikan. - Gambar hiasan
Malaysia Airlines Bhd telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Piedmont Propulsion Systems LLC (PPS) dari Amerika Syarikat (AS) untuk bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bilah kipas kapal terbang di Malaysia serta AS.
Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata ia bertanggungjawab menyediakan kemudahan fizikal serta sumber manusia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memudahkan operasi pembaikan termasuk bagi menyokong penyelenggaraan pesawat ATR milik subsidiarinya, Firefly dan MASwings, selain daripada menyediakan perkhidmatan untuk syarikat penerbangan lain di rantau ini yang menggunakan pesawat berenjin kipas.
Ia juga akan menguruskan rantaian pembekalan alat gantian asli yang akan digunakan oleh rakan-rakan kongsi Malaysia Airlines.
PPS pula akan memberikan sokongan teknikal dan latihan untuk keperluan penyenggaraan kipas, termasuk pensijilan semula, penyelenggaraan talian dan pembaharuan tahunan kepada kakitangan MAB Engineering bagi memastikan kualiti perkhidmatan MRO yang terbaik di KLIA.
PPS juga akan menyediakan pemeriksaan dan pembaikan utama jika diperlukan termasuk menyokong pembangunan gantian alternatif serta penggantian bahagian, manakala dalam jangka panjang, PPS akan memudahkan pemindahan pengetahuan dan teknologi untuk membangunkan kemampuan penggerak serta hab kipas pesawat Malaysia Airlines.
Tambahan pula, kedua-dua pihak akan mempunyai peranan dalam pemasaran dan mempromosikan perkongsian tersebut sebagai usaha sama teknologi kepada pengendali IATA 3, yang meliputi rantau Asia Pasifik.
Perkhidmatan bersama yang ditawarkan ini dijangka akan menjana keuntungan berjumlah RM10 juta dalam tempoh tiga tahun.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata walaupun syarikat itu mengalami pengurangan kekerapan penerbangan harian disebabkan pandemik COVID-19, ini sebenarnya memberikan kelebihan kerana setiap pesawat syarikat sekarang ini menjalani penyelenggaraan yang lebih menyeluruh ketika diletakkan dalam keadaan sedia yang berjangka panjang.
"Saya berpandangan, perkongsian jangka panjang dengan PPS, akan membantu kami dalam mencapai matlamat tersebut dan berikutan pemulihan industri, MoU ini akan membolehkan kami untuk menjadi hab sehenti bagi pengendali pesawat berenjin kipas mendapatkan perkhidmatan yang boleh dipercayai, berkualiti serta cepat.
"Selain itu, bekerjasama dengan PPS juga akan membantu kami membina kompetensi dalaman kami, dengan sasaran untuk membangunkan hab berenjin kipas serta keupayaan penggerak bilah pada masa hadapan," tambahnya.
-- BERNAMA
#Ahmad Luqman Mohd Azmi #alat gantian asli #Amerika Syarikat #bilah kipas #keuntungan #kipas kapal terbang #KLIA #Kuala Lumpur #Malaysia #Malaysia Airlines #Memorandum Persefahaman #MoU #operasi #pandemik #penerbangan #pesawat #Piedmont Propulsion Systems LLC