Malaysia Airlines lancar aplikasi MHassistant sebagai rakan kembara

Israr Khalid
Mei 2, 2019 04:00 MYT
Aplikasi tersebut menawarkan pengalaman lancar dan bersepadu yang memudahkan pelanggan untuk merancang percutian atau kembara mereka. - Gambar fail
Malaysia Airlines Berhad (MAB) mahu menawarkan pengalaman kembara menyeluruh kepada pelanggannya dengan memperkenalkan MHassistant, aplikasi yang menjadi hab setempat hospitaliti Malaysia.
Aplikasi tersebut dihasrat menjadi ‘rakan kembara’ para pelanggannya, memberikan akses kepada tawaran dan faedah kembara hebat lebih daripada pembelian tiket penerbangan seperti baucar makanan, beli-belah, pakej aktiviti tarikan pelancong, penginapan, akomodasi dan bermacam-macam lagi.
“Tujuan kami adalah untuk meneraju dan membawa semua pemain industri hospitaliti dalam satu ekosistem, supaya akhirnya pengembara yang datang ke Malaysia mengakses hanya satu aplikasi dan boleh mendapatkan segalanya sekaligus.
“Kami mahu menumpukan kepada usaha membina pengalaman yang tidak dapat dilupakan para pelanggan kami di setiap titik sentuhan, bukan sahaja dalam penerbangan tetapi seluruh keunikan Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan MAB, Lau Yin May.
Melancarkan perkhidmatan atas talian itu sebagai fasa kedua jenama ‘Malaysian Hospitality’ di pejabat jualan tiket baharunya di Nu Sentral, Kuala Lumpur pada Khamis, Yin May turut memaklumkan bahawa MAB turut akan melancarkan satu lagi aplikasi iaitu MHholidays.
Aplikasi tersebut menawarkan pengalaman lancar dan bersepadu yang memudahkan pelanggan untuk merancang percutian atau kembara mereka.
“Beberapa rakan niaga sudah setuju untuk bersama dalam perancangan, jadi tunggu!,” katanya tentang perkembangan rancangan baharu itu yang dijangka akan dilancar dalam tempoh dua bulan lagi.
Sejak kempen ‘Malaysian Hospitality’ dilancarkan tahun lepas, pelbagai usaha dilakukan MAB untuk memperkaya perkhidmatannya demi kepuasan dan pengalaman menyeluruh pelanggan.
Antaranya menu yang diperbaharui, laman web yang ditambah baik, kelajuan akses aplikasi mobil yang dipertingkat dan Golden Lounge yang dirubah dengan elemen kontemporari dan mewah gaya Malaysia.
Juga, MAB memeterai kerjasama dengan Expedia, Grab dan Maxis pada minggu lepas untuk menawarkan faedah bermanfaat kepada pelanggan MHexplorer.
MHexplorer merupakan jenama baharu yang memberi diskaun, elaun bagasi tambahan dan kebenaran menukar perjalanan secara percuma.
#Hospitaliti Malaysia #kembara #MAB #Malaysia Airlines #MH #MHassistant #MHexplorer #penerbangan #percutian #rakan kembara
;