Malaysia Airlines kembali mengorak langkah pada 2016

Bernama
Januari 10, 2016 12:34 MYT
Selepas bertahun-tahun berdepan masalah kewangan dan diburukkan lagi dengan tragedi berganda pada 2014, Malaysia Airlines bermula dengan rekod yang bersih pada 1 September tahun lepas. - Gambar fail
Tahun baharu, permulaan baharu bagi Malaysia Airlines.
Bagi tahun yang baru sahaja berakhir menyaksikan tenaga kerja di Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang baru ditubuhkan diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Christoph Mueller, bekerja keras untuk menyusun bersama organisasi, sebagai sebahagian daripada proses transformasinya.
Selepas bertahun-tahun berdepan masalah kewangan dan diburukkan lagi dengan tragedi berganda pada 2014, Malaysia Airlines bermula dengan rekod yang bersih pada 1 September tahun lepas, dengan MAB tidak lagi dijejaskan oleh isu kegawatan kewangan yang lepas.
Mueller memulakan minggu pertamanya dengan mengedarkan surat kepada kakitangan untuk menekankan bahawa: 'Penawar bagi pemulihan adalah perit dan program kecergasan yang diperlukan untuk menjadikan kita sihat semula memerlukan kita memerah keringat dan kadang-kadang berendam air mata. Namun pengakhirannnya ia akan memberikan ganjaran yang manis.'
Jumlah tenaga kerja yang berlebihan telah dikurangkan kepada 14,000 orang, yang bermakna 6,000 orang terpaksa ditamatkan perkhidmatan. Dan bagi memastikan kelangsungan mata pencarian 6,000 pekerja yang terjejas, Khazanah Nasional Berhad, pemilik Malaysia Airlines, menubuhkan Pusat Pembangunan Korporat (CDC).
CDC yang mula beroperasi pada 1 Jun tahun lepas menyediakan ruang dan peluang bagi penempatan luar, perkhidmatan latihan dan mengasah kemahiran semula bagi kakitangan Malaysia Airlines yang dihentikan dan tidak ditawarkan pekerjaan semula oleh MAB.
Pekerja tersebut disediakan dengan pelbagai perkhidmatan yang termasuk pemprofilan tenaga kerja, nasihat kerjaya, latihan asas dan terperinci, kemahiran mencari kerja, keusahawanan, perancangan persaraan dan penempatan.
Pada 27 November, lebih 3,000 bekas kakitangan telah mendaftar dengan CDC.
Kira-kira 1,165 pendaftar telah tamat program dengan CDC, yang mana 466 berjaya mendapat semula pekerjaan, 650 memilih menjadi usahawan dan 49 memilih persaraan awal.
Ketika ini, 392 pendaftar sedang menghadiri program manakala 964 yang lain yang telah menamatkan program bimbingan asas masing-masing telah beralih kepada program peningkatan kemahiran aktif. Baki 583 ialah calon yang sedang mencari kerja yang menjalani pelbagai kursus pensijilan teknikal dan bukan teknikal.
Selain mengurangkan tenaga kerjanya, perkara sukar lain yang terpaksa diambil ialah mengurangkan kos keseluruhannya sebanyak 20 peratus, termasuk merundingkan semula kontrak pembekal, menyusun semula laluan serta mengkaji semula proses kerja untuk menjadikan syarikat penerbangan itu setanding dengan amalan global.
Faktor persaingan
Dalam surat yang sama, Mueller juga mengetengahkan tentang keadaan tidak menentu syarikat penerbangan itu sebelum ini yang disebabkan terutamanya oleh tahap kos tidak kompetitif selain terpaksa bersaing dengan syarikat penerbangan tambang rendah baharu bagi rangkaian penerbangan jarak dekatnya.
Selain itu, dengan syarikat penerbangan penyambung utama dari Timur Tengah dan Turki menguasai bahagian pasaran jarak jauh, telah meletakkan tahap kos MAS sehingga 20 peratus lebih tinggi daripada pesaingnya.
Mueller berjanji untuk “menamatkan penderitaan” syarikat penerbangan itu pada tahun lepas, menstabilkan perniagaan pada 2016 dan menyasar pertumbuhan sekali lagi pada 2017. Menjelang 2018, syarikat penerbangan itu menyasar meraih keuntungan.
Pelaksanaannya adalah dalam bentuk pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk menambah baik lagi operasi, menambahkan penawaran produk, mengukuhkan proses serta prosedur dalaman dan meningkatkan semula keyakinan susulan dua tragedi malang yang menimpa syarikat penerbangan itu.
Dan daripada bersaing dengan syarikat penerbangan penyambung utama dari Timur Tengah dan Turki, Mueller sebaliknya mengambil langkah sinergistik untuk mengekalkan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan antarabangsa perkhidmatan penuh menghubungkan antara benua, dengan memeterai perkongsian penerbangan global dengan Emirates, yang bakal menyaksikan peningkatan trafik dua hala antara kedua-dua rantau itu.
Perkongsian kod
Bermula 1 Februari, Malaysia Airlines juga akan memulakan perkongsian kod bagi penerbangan Emirates dari Kuala Lumpur ke Dubai dan kemudian seterusnya ke destinasi di seluruh Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika, menyediakan lebih banyak pilihan kepada penumpang.
Penerbangan sambungan yang bertambah baik itu akan membolehkan pelanggan Malaysia Airlines menjejaki ke sehingga 38 destinasi di Eropah setiap hari dan malahan dua kali sehari bagi bandar raya utama Eropah seperti Zurich, Rome, Munich, Frankfurt, Madrid, dan Barcelona.
Ini bermakna bahawa tiket Malaysia Airlines akan membawa penumpangnya melangkaui destinasinya. Menggugurkan laluan yang tidak menguntungkan masih akan membolehkan penumpang dengan tiket Malaysia Airlines pergi ke destinasi yang digugurkan tersebut.
Mueller mengambil keputusan mengundurkan Malaysia Airlines daripada beberapa pasaran sehingga ia kembali mencapai kos yang kompetitif. Dalam erti kata lain -- berundur dan menyusun semula sebelum berkembang sekali lagi menjadi sasaran utama.
Dengan pelaksanaan semua inisiatif ini, para penganalisis yakin 2016 akan menjadi tahun yang lebih baik bagi MAB.
Mueller berada di landasan untuk merealisasikan wawasannya memulihkan Malaysia Airlines dengan penawaran produk moden ditambah dengan pakaian seragam baharu, bangunan umum baharu, organisasi yang didorong oleh proses baharu, diperkukuh dengan gaya bekerja baharu saling bekerjasama antara satu sama lain.
Segalanya sedang diusahakan.
Malaysia menjangka menyambut kedatangan 30.5 juta pelancong bagi menyumbang RM103 bilion hasil kepada negara tahun ini dan sasaran ini boleh dicapai menerusi pelbagai program yang sedang dalam perancangan.
Malaysia Airlines kini lebih bersedia berbanding sebelumnya untuk menjadi pemain utama membawa pelancong ke sini serta menghubungkan ke rantau ini.
#Christoph Mueller #Malaysia Airlines #MAS #transformasi
;