Malaysia Airlines jangka catat pertumbuhan menguntungkan pada 2018

Bernama
November 30, 2016 07:24 MYT
Pada tahun depan, syarikat penerbangan itu menjangka akan membawa lebih 15 juta penumpang. - Gambar fail
Malaysia Airlines Bhd (MAB) menjangka mencatat pertumbuhan menguntungkan pada 2018 dengan mengawal kos, kadar tambang yang kompetitif dan memaksimumkan faktor muatan walaupun menghadapi persekitaran yang mencabar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Peter Bellew.
"Kami telah menghasilkan separuh kedua 2016 yang lebih kukuh, tetapi kelemahan ringgit, ketidaktentuan Brexit serta lebihan kapasiti di pasaran Malaysia akan menjadi faktor penting pada 2017," katanya.
Malaysia Airlines telah melindung nilai keperluan bahan api yang banyak, tetapi akan terus terdedah kepada turun naik dolar US pada separuh pertama 2017, katanya dalam satu kenyataan bagi mengumumkan prestasi kumpulan itu pada suku ketiga berakhir 30 September 2016.
Pada tahun depan, syarikat penerbangan itu menjangka akan membawa lebih 15 juta penumpang.
Bellew berkata, kumpulan itu kini berusaha memuktamadkan rancangan bagi pembentukan satu syarikat penerbangan baharu, dengan menggunakan enam pesawat A380 yang menyediakan perkhidmatan untuk haji dan umrah.
"Malaysia Airlines sudah pun membawa jemaah dengan penerbangan sewa khas ke Arab Saudi dengan jayanya dan berada dalam kedudukan baik untuk memenuhi peningkatan permintaan penumpang dalam laluan ini," katanya.
Sementara itu, Bellew berkata, syarikat penerbangan itu menunjukkan perkembangan mantap pada suku di bawah kajian, dengan kawalan kos terus menjadi tumpuan utama.
Menurutnya, faktor muatan pada suku ketiga meningkat kepada 79 peratus berbanding 74 peratus pada suku sama tahun lepas, dan pemasaran bersasar juga membawa kepada 15 peratus kenaikan dalam penguasaan pasaran pada laluan London kepada 59 peratus pada September, naik daripada 45 peratus pada Mei.
"Suku tersebut menyaksikan peningkatan jelas dalam pendapatan serta muatan penumpang dan indeks perkhidmatan pelanggan kami juga terus pulih ketika penambahbaikan produk diperkenalkan pada suku tersebut," katanya.
Selain itu, beliau berkata, syarikat penerbangan itu mengembangkan rangkaian pada suku ketiga dengan memperkenalkan sembilan laluan baharu ke China untuk 2017.
"Tempat duduk baring baharu dan makanan dipertingkat dalam kelas bisnes pesawat berbadan lebar kami telah menyaksikan peningkatan 20 peratus tempahan awal untuk enam bulan akan datang," tambahnya. -- Bernama
#Brexit #faktor muatan #MAB #Malaysia Airlines Bhd #perkhidmatan haji umrah #pertumbuhan #peter bellew #ringgit
;