Makkah Metro: Prasarana mula operasi 24 jam untuk persiapan musim haji
Malik Ridhwan
Jun 22, 2016 14:01 MYT
Jun 22, 2016 14:01 MYT
Prasarana Malaysia Berhad, pengendali Makkah Metro di tanah suci Mekah memulakan operasi 24 jam tanpa henti sejak awal bulan Ramadan.
Ini bagi menjalankan sesi praujian selama 30 hari untuk persiapan menjelang musim haji September ini.
Dalam satu kenyataan, Prasarana berkata operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line hanya beroperasi secara rasmi selama tujuh hari setahun ketika jemaah mengerjakan haji antara 7 hingga 13 Zulhijjah.
Kenyataan itu menyebut, kesemua tren, fasiliti di stesen dan pusat kawalan operasi akan diuji sepanjang masa 24 jam sehari untuk kesediaan operasi dan menguji kecekapan pemandu.
Selepas selesai sesi praujian selama sebulan, ujian penuh akan diadakan dari 9 Julai hingga 6 September sebelum operasi haji sebenar bermula daripada 8 hingga 14 September ini.
Seramai 300 kakitangan Prasarana terlibat dalam operasi Makkah Metro ketika ini yang terdiri daripada rakyat Malaysia, Arab Saudi dan penduduk tempatan.
Menjelang musim haji, Makkah Metro akan beroperasi dengan lebih 7,000 kakitangan.