Majoriti pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan disumbang pengembangan operasi sedia ada - Tengku Zafrul

Bernama
Mac 8, 2024 19:34 MYT
Menurut Tengku Zafrul, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lepas, yang tertinggi dalam sejarah, menunjukkan petanda keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majoriti pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan tahun lepas disumbang daripada pengembangan operasi perniagaan sedia ada, sekali gus membuktikan keyakinan kukuh mereka terhadap Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
"Dalam sektor pembuatan sahaja, 63 peratus daripada pelaburan diluluskan adalah daripada perniagaan sedia ada yang mengembangkan operasi mereka.
"Ini menunjukkan keyakinan yang kukuh daripada syarikat-syarikat ini terhadap kestabilan ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia," katanya menerusi hantaran di laman sosial X beliau, hari ini.
Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lepas, yang tertinggi dalam sejarah, menunjukkan petanda keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.
Sebanyak 5,310 projek telah diluluskan dan bakal menjana hampir 130,000 pekerjaan.
Dalam satu hantaran berasingan, Tengku Zafrul menyifatkan lawatan rasmi sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia sebagai berjaya.
"Dari segi pelaburan dan perdagangan, beliau telah mengumumkan pelaburan berpotensi bernilai RM24.5 bilion dari lapan syarikat bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
"Beberapa projek akan membantu Malaysia mencipta ekosistem yang kukuh dalam ekonomi digital dan tenaga boleh baharu dan ia dijangka mencipta lebih daripada 1,200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi," katanya.
Dari segi perdagangan, Tengku Zafrul berkata lawatan yang turut disertai oleh beliau itu berjaya meraih potensi jualan sebanyak RM962.1 juta bagi eksport Malaysia ke Australia, yang merangkumi urea, produk kayu, makanan dan minuman, serta komponen elektrik.
Pelaburan berpotensi ini adalah dalam sektor yang menjadi sasaran di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) seperti tenaga boleh baharu, kimia, dan ekonomi digital.
"Kerajaan menyasarkan industri seperti ini akan mencipta pekerjaan bergaji tinggi bagi rakyat, dan peluang yang lebih baik bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
"Semua pencapaian ini juga mencerminkan keyakinan terhadap dasar-dasar Kerajaan MADANI dan keyakinan kukuh terhadap kapasiti pelaksanaannya," katanya.
-- BERNAMA
#pelaburan #sektor pembuatan #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #Anwar Ibrahim #Australia
;