Majlis Ekonomi Negara diberi taklimat mengenai ekonomi negara

Bernama
Ogos 17, 2015 21:51 MYT
Kerajaan akan terus mengambil peranan proaktif dalam menguruskan ekonomi berikutan cabaran global semasa dan keadaan ekonomi dalam negeri.
Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini diberi taklimat mengenai ekonomi negara, termasuk ringgit dan prestasi pasaran saham oleh Bank Negara Malaysia dan Bursa Malaysia.
Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua tahun ini.
"Bagaimanapun, kerajaan akan terus mengambil peranan proaktif dalam menguruskan ekonomi berikutan cabaran global semasa dan keadaan ekonomi dalam negeri.
"Inisiatif ini akan melibatkan semua kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan," katanya.
Dalam beberapa hari akan datang, katanya Perdana Menteri akan mendapatkan pandangan pemimpin-pemimpin korporat mengenai keadaan ekonomi semasa.
Katanya maklum balas tersebut akan membantu kerajaan melaksanakan langkah-langkah untuk menetapkan Malaysia pada trajektori yang betul untuk menjadi sebuah negara maju, harmoni dan makmur.
#Bank Negara Malaysia #Bursa Malaysia #Majlis Ekonomi Negara #Najib Razak
;