Majikan perlu terap teknologi baharu untuk tingkat produktiviti - MEF

Israr Khalid
Februari 18, 2022 08:15 MYT
Pengaplikasian teknologi membawa manfaat yang banyak kepada produktiviti syarikat dari segi kewangan dan pengurusan sumber manusia.
KUALA LUMPUR: Penerapan teknologi baharu dalam cara kerja seharusnya menjadi keutamaan para majikan ketika ini untuk meningkatkan produktiviti syarikat.
Kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, produktiviti tinggi bukan sahaja membawa pulangan yang lebih untuk syarikat, malah secara langsung menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Seterusnya apabila ekonomi sudah berada pada kedudukan yang baik, barulah kadar gaji minimum dapat dinaikkan dengan selesa.
“Tapi malangnya ia bukan murah dan majikan memerlukan insentif-insentif tertentu daripada kerajaan supaya kita dapat menerapkan teknologi baharu.
“Pada masa sama pekerja juga perlu untuk meningkatkan kemahiran mereka dengan menjalani program ‘upscaling’ dan ‘rescaling’ dan paling penting saya rasakan perlu untuk mereka mensijilkan kemahiran mereka.”
Menurut beliau, sebenarnya kita mempunyai ramai tenaga kerja tempatan namun ada masalah dalam bab pensijilan.
Ia amat diperlukan dalam usaha meningkatkan jumlah pekerja mahir di negara ini yang ketika ini berada di bawah 30 peratus, berbanding negara-negara maju yang jumlah pekerja mahirnya berada sekitar 50 peratus dan ke atas.
“Kita menyasarkan tahun ini kita dapat mencapai 35 peratus, tapi saya rasa itu satu angka yang sangat besar.
“Jika itu berlaku, syarikat adakan teknologi baharu, pekerja mempunyai kemahiran yang lebih tinggi dan sebenarnya kita boleh tingkatkan produktiviti.
“Bila ada peningkatan produktiviti, sudah pasti syarikat akan mendapat untung yang lebih dan saya rasa ia wajib dikongsikan dengan para pekerja.”
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis, dihoskan oleh Nazri Kahar.
Majikan perlu terap teknologi baharu untuk tingkatkan produktiviti - MEF
#Dialog Tiga Penjuru #MEF #Shamsuddin Bardan #jana pertumbuhan ekonomi negara
;