Majikan bertanggungjawab bayar levi pekerja asing mulai esok - TPM Zahid

Bernama
Disember 31, 2016 18:00 MYT
Majikan juga perlu mematuhi Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing dengan pekerja-pekerja akan ditempatkan di penginapan yang disediakan oleh majikan. - Gambar fail
Majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar levi pekerja asing berkuat kuasa esok (1 Jan 2017) di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata EMC bertujuan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asing yang digajikan bermula dari peringkat permohonan, penggajian dan sehinggalah pekerja asing tersebut dihantar pulang ke negara asal.
"Bermula dari tempoh ini, majikan tidak lagi dibenarkan untuk membuat potongan gaji pekerja bagi menampung pembayaran levi," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya perubahan dasar itu akan meletakkan majikan lebih bertanggungjawab dalam menjaga pekerja mereka, sekali gus mengelak isu pekerja asing lari, bertukar sektor secara haram serta tinggal lebih masa dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Selain itu, katanya, majikan juga perlu mematuhi Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing dengan pekerja-pekerja akan ditempatkan di penginapan yang disediakan oleh majikan.
Beliau berkata dalam masa terdekat, kerajaan juga akan memperkenalkan penggunaan Surat Aku Janji yang mengariskan tanggungjawab dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi setiap majikan dalam penggajian pekerja asing.
Katanya kerajaan turut mengkaji semula kadar wang cagaran yang dikenakan kepada majikan bagi membawa masuk pekerja asing.
"Kadar sedia ada didapati terlalu rendah dan tidak berkesan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan majikan menghantar pekerja asing pulang ke negara asal setelah kontrak/khidmat mereka tidak lagi diperlukan," jelasnya.
Menurut beliau, pengambilan pekerja asing merupakan satu keistimewaan yang diberikan kepada majikan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di dalam industri dan membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Bagaimanapun, katanya, terdapat majikan yang tidak bertanggungjawab terhadap pekerja yang dibawa masuk dan melanggar peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata kerajaan mendapat laporan bahawa majikan tidak membayar gaji mengikut gaji minimum, mengehadkan perjalanan pekerja asing dan memegang pasport mereka.
"Terdapat kejadian di mana pekerja asing melarikan diri dan majikan lepas tangan lalu menyerahkan kepada Jabatan Imigresen, polis dan agensi lain untuk mencari dan menghantar pulang pekerja asing," katanya.
Insiden-insiden seumpama itu memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti pemerdagangan orang, katanya. -- Bernama
#ahmad zahid #levi pekerja asing #pati #pekerja asing #pendatang asing tanpa izin
;