MAIS Zakat mahu lahirkan usahawan muslim
Bernama
Disember 27, 2012 12:28 MYT
Disember 27, 2012 12:28 MYT
MAIS Zakat Sdn Bhd, anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor, merancang mengeluarkan lebih ramai usahawan selaras dengan usahanya mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan orang Islam.
Pegawai Pemasarannya, Fasihah Mat Radzi berkata MAIS Zakat yang ditubuhkan pada Mac tahun lepas, mempunyai objektif yang antaranya menyemai semangat keusahawanan di kalangan asnaf sekali gus membantu mereka keluar dari kategori asnaf.
Selain itu, MAIS Zakat juga membantu mengenal pasti kursus dan latihan kemahiran untuk golongan asnaf dan memadankan kerja yang sesuai untuk mereka bagi keluar dari kategori asnaf.
"Sekarang ini, kita ada banyak program keusahawanan di bawah syarikat di mana antaranya adalah pasar rakyat, kedai burger, lori makanan bergerak, jadi setiap program itu ada usahawan tersendiri," katanya.
"Di bawah Bahagian Pembangunan Produk dan Pemasaran yang saya kelolakan sahaja, ada 17 usahawan," katanya.
Katanya, untuk pembangunan produk, MAIS Zakat akan bertindak sebagai pembiaya dan akan membantu dari segi pelabelan dan cap halal.
Bagi usahawan yang baru bermula, untuk mendapatkan label halal, Fasihah berkata syaratnya mesti ada premis dan bagi usahawan-usahawan berkenaan, mereka tiada premis sekali gus menyukarkan mereka untuk mendapatkan sijil halal.
"Label yang ada di produk kita ada tertera `Usahawan di bawah bimbingan MAIS Zakat Sdn Bhd, jadi bila produk itu berada di pasaran, orang tengok produk MAIS sahaja, orang tahu ini adalah produk untuk Muslim.
"Kita berharap, dengan bantuan label itu, produk-produk sebegini akan lebih banyak dikeluarkan di pasaran," katanya.
Selain itu, syarikat itu juga mengenal pasti tapak-tapak pameran seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) untuk memberi peluang mereka berniaga secara berkumpulan, sekali gus mendedahkan mereka dengan pasaran sedia ada.
Melalui 17 usahawan itu, terdapat 17 produk tempatan termasuk ikan pekasam, coklat cip, jejari udang, popia sejuk beku, keropok lekor dan pau.
Bagi memastikan mereka mendapat pulangan dan pendapatan yang berterusan, antara strategi yang dijalankan adalah mendapatkan tempat di kedai-kedai runcit yang berdekatan dengan tempat kediaman mereka.
Menurut Fasihah, ini bertujuan untuk mengenalkan produk usahawan-usahawan MAIS di pasaran tempatan sekali gus memastikan pendapatan yang berterusan bagi mereka.
"Konsep yang akan kita gunakan di kedai itu adalah konsep rak yang menggunakan label usahawan di bawah bimbingan MAIS Zakat bagi tujuan membantu promosi," katanya, sambil menyatakan bahawa setiap usahawan digalakkan mencari lima kedai runcit berhampiran.
Program itu dijangka bermula bulan depan.
Selain itu, Fasihah berkata usahawan-usahawan MAIS Zakat akan dihantar menyertai kursus-kursus yang boleh memantapkan keusahawanan mereka termasuk kemahiran merancang secara strategik serta mengenal pasti dokumen perniagaan yang merupakan kemahiran asas yang perlu dipelajari.