Mahkamah Tinggi tolak permohonan injunksi Serba Dinamik terhadap Bursa Malaysia

Bernama
Februari 10, 2022 20:22 MYT
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata Bursa Malaysia tidak bertindak melebihi kuasanya apabila menggantung saham SDHB. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd hari ini gagal memperoleh perintah mahkamah untuk menghalang Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia) daripada memaksa syarikat kejuruteraan minyak dan gas itu membuat hebahan awam Kemas Kini Dapatan Berdasarkan Fakta (FFU) yang disediakan oleh firma audit Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata permohonan SDHB untuk mendapatkan injunksi terhadap Bursa Malaysia tidak dapat dipertahan dan tidak disokong secara fakta susulan aku janji oleh syarikat itu berkaitan obligasi kontrak dengan Bursa Malaysia.
"Mahkamah tidak sepatutnya meneka fungsi badan kawal selia dalam mengenakan syarat sedemikian. Kalau betul, akan berlaku huru-hara jika mahkamah memilih dan menerima untuk melaksanakan tafsiran SDHB sendiri berbanding tafsiran oleh Bursa Malaysia, yang merupakan badan kawal selia," katanya ketika menolak permohonan SDHB pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.
Beliau juga berkata Bursa Malaysia tidak bertindak melebihi kuasanya apabila menggantung saham SDHB.
Hakim itu berkata Bursa Malaysia melaksanakan tugasnya mengikut Seksyen 11 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 sebagai badan kawal selia susulan aktiviti luar biasa dalam sahamnya pada hari itu.
"Ia merupakan kegagalan di pihak Bursa Malaysia jika tidak meneruskan penggantungan itu. Justeru, mahkamah juga mendapati Bursa Malaysia bertindak dalam bidang kuasanya ketika mengeluarkan arahan berhubung hebahan awam FFU itu. Oleh itu, mahkamah menolak permohonan ini," kata hakim itu yang mengarahkan SDHB membayar kos RM30,000 kepada Bursa Malaysia.
-- BERNAMA
#Serba Dinamik #Bursa Malaysia #SDHB #Mahkamah Tinggi
;