Mahkamah ketepikan permohonan Serba Dinamik tangguh perintah dedah FFU
Bernama
Februari 14, 2022 23:57 MYT
Februari 14, 2022 23:57 MYT
Mahkamah Tinggi pada Isnin menolak permohonan Serba Dinamik Holdings Bhd’s (SDHB) untuk menangguhkan perintah mahkamah supaya syarikat itu membuat hebahan awam Kemas Kini Dapatan Berdasarkan Fakta (FFU) oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y Consulting), yang dilantik bagi melaksanakan kajian semula khas bebas (SIR) terhadap syarikat itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Wan Muhammad Amin Wan Yahya berkata, beliau mendapati perkara berhubung kepentingan awam yang membangkitkan potensi kemudaratan kepada awam termasuk pelabur dan pemegang saham, menjadi faktor penolak untuk mahkamah tidak membenarkan penangguhan.
"Saya tidak lihat ada keadaan istimewa untuk membenarkan penangguhan ditampilkan, sehubungan itu saya mengenepikan permohonan ini dengan kos RM5,000,” katanya.
Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujah oleh peguam SDHB Mak Lin Kum serta peguam plaintif (Bursa Malaysia Securities Bhd) Datuk Loh Siew Cheang dan Kelvin Seet.
Perkara itu disahkan oleh peguam Chris Leong, yang menjadi pemerhati kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
November lepas Bursa memfailkan saman pemula untuk memaksa Serba Dinamik mendedahkan FFU SIR bertarikh 30 September 2021 yang dikendalikan oleh EY Consulting.
Tindakan undang-undang itu diambil berikutan kegagalan Serba Dinamik mematuhi arahan bursa saham pada 22 Oktober lepas untuk mendedahkan FFU berkenaan.
Pada 7 Februari lepas Wan Muhammad Amin yang mengarahkan SDHB membuat hebahan awam FFU oleh E&Y Consulting, yang dilantik bagi melaksanakan SIR terhadap syarikat berkenaan, turut mengarahkan syarikat kejuruteraan minyak dan gas itu mendedahkan FFU dalam tempoh dua hari pasaran dari tarikh arahan berkenaan.
Dalam penghakimannya beliau berkata, mahkamah memiliki kuasa untuk membuat keputusan terhadap permohonan Bursa Malaysia Securities Bhd, yang menfailkan permohonan keatas Serba Dinamik (defendan), di bawah Seksyen 360 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
"Maklumat yang dipohon untuk diumumkan (dalam FFU) adalah ‘material’ dan tidak bergantung sama ada ia benar, palsu atau muktamad. Defendan berhak untuk tidak bersetuju dengan maklumat yang akan didedahkan.
"Bursa Malaysia berhak dan diberi kuasa di bawah Seksyen 11 CMSA untuk memberi arahan untuk menegakkan dan mengekalkan pasaran sekuriti yang adil dan teratur bagi menjaga kepentingan orang awam dan pelabur, di samping mengambil tindakan sewajarnya di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR), bagi tujuan memantau dan memastikan pematuhan kepada MMLR. Dalam kedaan ini mahkamah membenarkan Lampiran 1 (permohonan oleh Bursa terhadap SDHB) untuk memaksa syarikat itu mendedahkan FFU berkenaan,” katanya.
Susulan itu SDHB memohon untuk penangguhan perintah mahkamah.
- Bernama