MAHB, UTM bekerjasama tingkatkan kecemerlangan operasi lapangan terbang
Dagang News
Julai 25, 2022 11:15 MYT
Julai 25, 2022 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus memperjuangkan kecemerlangan operasi lapangan terbang menerusi kerjasama terbaharu dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Organisasi itu menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan universiti minggu lepas, memulakan 15 bidang tumpuan dalam bidang operasi lapangan terbang, kejuruteraan dan teknologi.
Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan peluang peningkatan berterusan dan pembinaan kapasiti dalam menguruskan rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports melalui pertukaran kepakaran, idea, maklumat, teknologi dan inovasi.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, selain mengejar kecemerlangan operasi, kerjasama ini memberikan peluang untuk pengkomersialan dan harta intelek.
"Dengan cara ini, Malaysia Airports juga boleh memainkan peranan dalam menyumbang kepada aspirasi negara untuk menjadi antara 20 teratas Indeks Inovasi Global menjelang 2030," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail pula berkata, UTM telah melahirkan ribuan teknokrat dalam sektor kejuruteraan dan teknologi sempena usaha mempromosikan Revolusi Perindustrian ke-4 negara.
"Rakan industri kami memainkan peranan penting untuk UTM dalam membawa penemuan penyelidikan kepada bakal graduan yang bertujuan untuk menjadi pencipta pekerjaan," katanya.
Sebelum ini, Malaysia Airports dan UTM telah bekerjasama pada 2018 untuk membangunkan 'Foreign Object Debris Detection System (FODDS)' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ia telah menghasilkan kejayaan pelaksanaan pelbagai pemindahan teknologi dan strategi pembangunan modal insan antara kedua-dua pihak. - DagangNews.com