MAHB sedang muktamadkan perjanjian operasi baharu dengan kerajaan
Bernama
Jun 2, 2022 04:21 MYT
Jun 2, 2022 04:21 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian operasi (OA) baharu yang menetapkan terma dan syarat konsesi MAHB untuk mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dengan kerajaan.
"Kami berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan OA itu serta perjanjian pajakan tanah," kata Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood semasa taklimat media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan MAHB semalam.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan garis masa untuk pengendali lapangan terbang itu memuktamadkan OA tersebut.
"Setakat ini, saya hanya boleh membuat kenyataan umum mengenai perkara itu iaitu kami berharap OA baharu ini akan dapat memberikan kami kelebihan kepada para pemegang saham.
"MAHB di peringkat akhir untuk memuktamadkannya...kami positif terhadapnya," katanya.
OA semasa ditandatangani pada tahun 2009 dan ia telah digubal untuk memberi pampasan kepada MAHB sebagai pengendali lapangan terbang tetapi bukan sebagai pemaju infrastruktur lapangan terbang.
Sementara itu, Iskandar Mizal berkata trajektori pertumbuhan MAHB berada di landasan yang betul memandangkan pengendali lapangan terbang itu memberi tumpuan untuk memastikan ia kekal dalam mencatat keuntungan.
Beliau berkata MAHB berusaha untuk mendapatkan aliran pendapatan baharu dan peluang pertumbuhan selanjutnya melalui tiga tonggak utama iaitu membawa balik penumpang antarabangsa, mengaktifkan perniagaan komersial dan runcit serta mempercepatkan pembangunan di luar terminal.
"Daripada keputusan suku pertama kami, trajektori berada di laluan yang betul. Kami juga telah mendedahkan jumlah trafik penumpang MAHB, ia juga berada pada trajektori menaik. MAHB telah menurunkan kos teras dengan ketara. Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan.
"Selepas mengalami dua tahun dalam persekitaran yang sukar, tahun ini, MAHB sudah bersedia untuk memastikan bekerja secara berpasukan untuk mencapai objektif dan kembali pulih," katanya.
Iskandar Mizal berkata inisiatif mitigasi pandemik juga telah mengurangkan perbelanjaan operasi teras sebanyak RM723.3 juta dalam tempoh dua tahun lepas.
Pengendali lapangan terbang itu juga telah meningkatkan aliran tunai dan dana sebanyak 34.6 peratus kepada RM2.31 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021.
-- BERNAMA