MAHB sasar 115 juta penumpang, capai hasil RM7.5 bilion menjelang 2020

Bernama
April 25, 2016 12:02 MYT
BADLISHAM: Hab KLIA dijangkakan mencatat pertumbuhan trafik penumpang yang kukuh, dengan lebih 30 juta penumpang tambahan menjelang 2020, tambahan kepada 49 juta penumpang sedia ada. - Gambar fail
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasarkan untuk mengendalikan 115 juta penumpang setahun dan merekodkan hasil RM7.5 bilion menjelang 2020 dalam pelan perniagaan lima tahunnya, 'Runway to Success 2020' (RtS2020).
Tahun lepas, operator lapangan terbang itu menarik 112 juta penumpang dan memperoleh hasil bernilai RM3.9 bilion.
Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata MAHB juga menyasarkan memperoleh pendapatan RM3 bilion sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) daripada RM1.6 bilion menerusi RtS2020.
"Pelan lima tahun itu bakal menyaksikan MAHB berusaha menjadi peneraju global dalam mewujudkan bandar raya lapangan terbang.
"Kami akan memberi tumpuan kepada keutamaan strategik kami, iaitu meningkatkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebagai hab pilihan ASEAN, meningkatkan pengalaman menyeluruh untuk semua pemegang kepentingan, membangunkan Aeropolis, dan meningkatkan kesan antarabangsa," katanya pada
sidang media selepas mengumumkan pelan perniagaan syarikat itu di sini hari ini.
Badlisham berkata RtS2020 merupakan sebahagian daripada perjalanan operator lapangan terbang itu dalam memastikan prestasi perniagaannya relevan dan berdaya tahan dalam persekitaran yang semakin kompetitif.
RtS2020 melibatkan dua tunggak utama -- mengukuhkan perniagaan teras MAHB dan meluaskan dan mempelbagaikan operasi perniagaan.
Badlisham berkata peningkatan KLIA sebagai hab pilihan ASEAN melibatkan dua inisiatif -- meningkatkan perhubungan jarak dekat dan sederhana dalam pasaran pertumbuhan tinggi dan membolehkan dan menggalakkan pemindahan lancar antara syarikat penerbangan dan masa transit antarabangsa yang lebih pendek.
Beliau berkata hab KLIA dijangkakan mencatat pertumbuhan trafik penumpang yang kukuh, dengan lebih 30 juta penumpang tambahan menjelang 2020, tambahan kepada 49 juta penumpang sedia ada.
Menurutnya, operator lapangan terbang itu akan berusaha untuk lebih proaktif mewujudkan nilai melalui perkongsian pintar dan kerjasama sinergi dengan rakan kongsi perniagaannya untuk manfaat bersama, terutama dalam pembangunan muktamad lapangan terbang bandar Aeropolis.
Aeropolis KLIA seluas 404 hektar itu dijangka menjana kira-kira RM7 bilion potensi pelaburan menerusi tiga komponen utama iaitu kargo udara dan logistik, taman perniagaan dan penerbangan serta Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Acara (MICE) serta percutian.
Antara projek utama ialah taman tema, hotel, Taman Aerotech KLIA, Subang Aerospace, Taman Kargo dan Logistik KLIA serta Pusat Penghantaran Serantau.
Mitsui Outlet Park adalah antara pembangunan terawal Agropolis KLIA.
Melalui RtS2020, Badlisham berkata MAHB juga berusaha untuk menyampaikan hasil yang lebih baik kepada semua pihak berkepentingan dengan meningkatkan pengalaman penumpang selain meningkatkan jualan peruncit dan mengembangkan kecekapan operasi.
MAHB kini mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.
Bagi 39 lapangan terbang di Malaysia, lima terdiri daripada lapangan terbang antarabangsa, 16 domestik dan 18 lapangan terbang berlepas dan pendaratan pendek.
#Badlisham Ghazali #Ebitda #MAHB #Malaysia Airports Holdings Bhd #RtS2020