MAHB: KLIA2 dibuka pada Mei 2014
Goh Thean Eu
Jun 19, 2013 18:20 MYT
Jun 19, 2013 18:20 MYT
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pengendali lapangan terbang negara menjangkakan KLIA2 yang ditunggu-tunggu selama ini akan beroperasi pada Mei tahun hadapan.
Projek KLIA2 yang dibangunkan oleh kontraktor bersama UEMC-Bina Puri telah mengalami kelewatan sebanyak dua kali. Tarikh pertama dijangka siap adalah pada April 2012 sebelum ditangguhkan kepada 28 Jun tahun ini.
"UEMC-Bina Puri hari ini mengesahkan tarikh siap adalah pada 30 April 2014 termasuk mendapatkan sijil pematuhan tamat pembinaan dan pemindahan operasi lapangan terbang (CCC) seperti yang tertera dalam kontrak.
"Berdasarkan tarikh siap yang telah dikaji semula oleh para kontraktor, kami mensasarkan KLIA2 akan beroperasi pada 2 Mei 2014," menurut MAHB dalam satu kenyataannya di Bursa Malaysia.
Sementara itu dalam kenyataan lain oleh Pengarah Urusan UEM Builders Mohd Razin Ghazali berkata UEMC-Bina Puri mensasarkan dapat menyiapkan baki pembinaan yang kira-kira masih berbaki tujuh peratus.
"Semasa menyiapkan baki pembinaan, kami bersama MAHB akan bersama mendapatkan CCC daripada pihak yang berkenaan yang bakal mengambil masa dalam 8 minggu," jelas Razin.