MAHB, kami tidak akan bersekongkol dalam skim bebankan rakyat - AirAsia

Kenyataan Media
Disember 19, 2018 17:28 MYT
Sejak klia2 beroperasi, sering terdapat gangguan dan pembatalan penerbangan disebabkan kerosakan pada apron dan landasan, dakwa AirAsia. -Gambar fail
Berdasarkan keadaan ekonomi semasa yang mencabar dan keuntungan yang semakin menipis dalam sektor korporat di Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memenangi anugerah utama di Malaysia minggu lepas, mendahului syarikat-syarikat billion ringgit yang lain dengan memberi pemegang saham mereka pulangan tiga tahun yang terbaik dalam kelasnya.
Keuntungan bersih lebih dari tiga kali ganda MAHB pada tahun 2017 iaitu pada kadar RM237 juta peningkatan dari RM73 juta pada tahun 2016 - yang mana juga hampir dua kali ganda dari keuntungan RM40 juta pada tahun 2015 - dan dijangka bakal mencatat rekod baru tahun ini.
Dalam artikel mengenai anugerah tersebut, peningkatan mendadak keuntungan ini dikaitkan dengan dua sebab: peningkatan dalam Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) dan peningkatan jumlah penumpang menerusi lapangan-lapangan terbang mereka.
Artikel tersebut turut secara terang menyatakan prestasi MAHB yang lebih baik ini adalah atas sebab dominasi struktur dan menggambarkan MAHB sebagai satu struktur monopoli.
Tahniah kepada MAHB. Namun adalah tidak sukar untuk terus menunjukkan angka seperti itu sebagai monopoli.
Walau bagaimanapun, peningkatan harga tidak wajar, seperti peningkatan PSC yang dikenakan oleh MAHB ini bakal memberi kesan yang tidak diingini apabila para pelanggan mereka yang tidak mempunyai pilihan lain tetapi untuk menggunakan perkhidmatan mereka akan akhirnya lingkup.
Pada ketika itu, semuanya akan turut menjunam bersama - ketibaan para pelancong ke Malaysia, pembelanjaan berbilion oleh para pelancong di Malaysia dan juga keuntungan MAHB sendiri (fakta yang tidak diakui oleh MAHB).
MAHB memberi ganjaran kepada diri mereka sendiri menerusi keuntungan monopoli yang berlebihan dan pada masa yang sama menawarkan rakyat Malaysia dengan perkhidmatan tidak berkualiti dan memalukan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, “Tambahan dari RM50 PSC yang telah dicaj, MAHB kini meminta peningkatan tambahan sebanyak RM23 dari setiap penumpang yang memulakan perjalanan menerusi klia2.
Dari jutaan penumpang yang berlepas dari klia2, lebih dari 90 peratus terbang bersama AirAsia, yang perlu berjalan jauh sebelum sampai ke pintu pelepasan di lapangan terbang yang tidak mesra penumpang dengan fasiliti tidak berkualiti dan dicaj pada kadar yang tinggi dan tidak wajar.
“Selain itu, sejak klia2 mula beroperasi, sering terdapat gangguan dan pembatalan penerbangan disebabkan kerosakan pada apron dan landasan, penutupan landasan yang tidak berjadual, lopak air yang berkolam dan yang terbaik ialah saluran bahan api yang pecah.
“Kami disaman selepas kami enggan mengutip caj tambahan RM23 yang dikenakan oleh MAHB bagi manfaat pemegang saham mereka.
"Kami akan bersungguh-sungguh menentang kes saman ini. Kami tidak akan bersekongkol dalam skim membebankan rakyat dan membuat mereka membayar lebih untuk perkhidmatan yang tidak berkualiti.”
Benyamin juga berkata sementara keputusan operasi klia2 sendiri tidak jelas, AirAsia menjangkakan pulangan atas modal MAHB adalah berlebihan dari tahap modal yang ditetapkan oleh penguat kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, “Sektor pelancongan secara keseluruhannya adalah salah satu penyumbang besar pendapatan Malaysia, dan kepentingan jutaan rakyat Malaysia yang boleh terbang atas sebab tambang rendah yang diterajui oleh AirAsia kini terancam atas sebab kenaikan harga oleh MAHB.
Kami menyeru penguat kuasa dan pembuat polisi untuk menolak inisiatif yang tidak wajar dan tidak munasabah oleh MAHB ini dalam menggunakan kedudukan monopoli untuk terus mengaut keuntungan untuk diri sendiri dengan menilai semula dan membatalkan keputusan menaikkan kadar PSC ini.
“MAHB menggesa bahawa mereka memerlukan lebih banyak keuntungan untuk mengendalikan lapangan terbang yang lebih kecil dan tidak memberi keuntungan bagi pihak kerajaan, tetapi jelas dengan keuntungan mendadak dalam tempoh tiga tahun ini dan setelah mengambil kira kerugian operasi di Turki, ini bukan kes yang sebenarnya.
“Caj tambahan RM23 yang akan dikutip akan berjumlah lebih dari RM100 juta setahun dan akan terus ke MAHB dan bukan kepada pihak kerajaan.
"MAHB akan terus menjadi antara syarikat yang paling menguntungkan untuk tempoh bertahun-tahun yang akan datang. Tetapi ini akan memudaratkan ekonomi Malaysia dan memberi kesan kepada pemangkin pertumbuhan ekonomi negara seperti AirAsia dan AirAsia X.”
Riad juga merujuk kepada kenyataan MAHB untuk mengenakan tambahan RM23 dalam PSC dari setiap penumpang perjalanan, dengan mengatakan ia "terikat dengan Artikel 15 Konvensyen Chicago 1944."
“Hal ini boleh menjadi bahan ketawa jika tidak begitu serius. MAHB merujuk kepada konvensyen yang diwartakan pada tahun 1944, di mana Jepun masih memerintah Tanah Melayu dan ketika Frank Whittle masih sedang menguji enjin jet dan hanya golongan yang berkemampuan boleh terbang.
“Atas sebab-sebab ini, kami tidak bersetuju dengan tuntutan MAHB dan akan membawa pertempuran ini kepada rakyat dan ke mahkamah undang-undang.”
#AirAsia #Airasia X #anugerah utama #benyamin ismail #Caj Perkhidmatan Penumpang #dominasi struktur #jumlah penumpang #KLIA2 #MAHB #Malaysia Airports Holdings Berhad #struktur monopoli
;