MAHB dijangka raih hasil lebih kukuh susulan pembukaan semula ruangan runcit KLIA
Dagang News
November 30, 2023 17:35 MYT
November 30, 2023 17:35 MYT
KUALA LUMPUR: MIDF Research menjangkakan hasil sewa dan komersial yang lebih kukuh bagi operasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Malaysia, didorong pembukaan semula sepenuhnya ruang runcit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1QFY24.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pemulihan berterusan dalam trafik penumpang Malaysia dengan syarikat penerbangan tempatan dan lima syarikat penerbangan antarabangsa merancang meningkatkan kapasiti tempat duduk masing-masing sebanyak 24% dan 31% pada tahun akan datang.
Katanya, perjanjian kemasukan tanpa visa antara China dan Malaysia mulai 1 Disember 2023 adalah rangsangan positif memandangkan hanya 58% penumpang pra-COVID-19 dari China telah pulang setakat 23 September lalu.
Pemulihan trafik Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (SGIA) bersedia untuk pertumbuhan didorong oleh peningkatan permintaan untuk perjalanan antarabangsa.
"Berbanding 2019, jumlah penumpang Malaysia pulih kepada 81%, manakala Istanbul SGIA merekodkan pertumbuhan 8%, didorong pemulihan trafik antarabangsanya.
"Selain itu, inisiatif komersial dan runcit terbukti berjaya, memberikan sumbangan yang lebih ketara kerana penghunian operasi kini berada pada 72% (2QFY23: 64%) dan berada di landasan untuk mencapai 85% menjelang akhir tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, MAHB mencatatkan sumbangan komersial dan runcit yang lebih baik membawa kepada hasil 66.8% lebih tinggi sebanyak RM3.5 bilion, manakala Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) kumpulan meningkat dua kali ganda kepada RM1.6 bilion daripada RM860 juta setahun yang lalu.
Kumpulan itu juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM284.3 juta.
Firma penyelidikan itu menyemak naik unjuran pendapatan MAHB bagi FY23/FY24/FY25 sebanyak 24%/20%/21% didorong trafik penumpang antarabangsa yang lebih tinggi di Istanbul SGIA.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP)RM7.80 berbanding RM7.45 sesaham," katanya. - DagangNews.com