MAHB catat pergerakan penumpang lebih tinggi pada Februari

Bernama
Mac 24, 2023 18:45 MYT
Jumlah pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang MAHB terus rancak dan merekodkan purata penumpang harian yang lebih tinggi iaitu 1,400 pada bulan lepas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 8.3 juta pada Februari, yang mana 3.9 juta adalah penumpang antarabangsa manakala 4.4 juta adalah domestik.
Pengendali lapangan terbang itu berkata, jumlah pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang MAHB terus rancak dan merekodkan purata penumpang harian yang lebih tinggi iaitu 1,400 pada bulan lepas walaupun ia adalah bulan yang lebih pendek berbanding Januari.
"Peningkatan ini didorong oleh cuti sekolah di Malaysia dan juga pertambahan kekerapan penerbangan oleh syarikat penerbangan di Turkiye," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di Malaysia, ia berkata jumlah pergerakan penumpang yang direkodkan oleh lapangan terbang tempatan bagi Februari adalah memberangsangkan, mencatatkan 5.8 juta penumpang dan dengan purata pergerakan penumpang harian lebih tinggi sebanyak 3,480 penumpang berbanding Januari.
"Bagi purata pergerakan penumpang harian antarabangsa pula, ia mencatatkan peningkatan empat peratus berbanding bulan sebelumnya disumbangkan oleh pertumbuhan penumpang bagi sektor Korea Selatan, China dan Jepun," tambahnya.
MAHB berkata, walaupun sektor China masih dalam fasa awal pemulihan, pergerakan penumpang untuk sektor itu meningkat sebanyak 61 peratus pada Februari berbanding Januari.
"Pergerakan penumpang domestik juga adalah positif berikutan cuti sekolah, dengan purata penumpang harian lebih 112,000, lebih kurang pada paras purata penumpang harian yang sama pada Januari," katanya.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turkiye merekodkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 2.5 juta pada Februari 2023, yang mana pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan 1.3 juta dan 1.2 juta penumpang.
"Terdapat sedikit kejatuhan dalam keseluruhan trafik harian bagi tempoh lima hingga enam hari pertama selepas gempa bumi melanda selatan dan tengah Turkiye," jelasnya.
Namun begitu, ia berkata "pergerakan penumpang meningkat dan mencatat pemulihan 92.9 peratus berbanding purata penumpang harian sebelum gempa bumi untuk hari-hari terakhir bulan lepas."
-- BERNAMA
#MAHB #pergerakan penumpang #Turkiye #penumpang antarabangsa
;