MAHA 2016 bakal jana RM200 juta
Anthea Yap
Mac 25, 2016 07:04 MYT
Mac 25, 2016 07:04 MYT
Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 dijangka menjana pulangan RM200 juta hasil daripada aktiviti dagangan dan pemadanan perniagaan.
Ekspo pameran pertanian terbesar negara itu akan berlangsung selama 11 hari bermula 24 November hingga 4 Disember, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata MAHA 2016 menekankan pelancongan tani, perdagangan dan gaya hidup agro serta inovasi kemajuan teknologi.
Ekspo itu turut mensasarkan lebih 3.5 juta pengunjung khususnya golongan muda melalui program Agro Youth.
"Ertinya ada anak muda, anak kecil ada orang muda dan juga untuk orang tua. Ia mempunyai kitaran semua generasi yang akan terlibat.
"Satu lagi input yang kita masuk dalam MAHA kali ini di samping ada sembilan kluster utama yang selama ini sudah pun ada dan kita akan tambah baikkan lagi", katanya di majlis Pra-pelancaran MAHA 2016 di MAEPS di sini pada Jumaat.
Menurutnya, MAHA 2016 akan menerapkan serampang lima mata merangkumi keselamatan dan kedaulatan makanan, rekreasi, pemerkayaan pengetahuan, pelancongan serta kesejahteraan.
Bertemakan "Our Food Our Future", MAHA 2016 akan menampilkan lebih 1,500 gerai yang disertai agensi kerajaan dan syarikat swasta dalam serta luar negara.
MAHA 2016 adalah acara unggul untuk mengembangkan perniagaan secara strategik.
Antara tarikan terbaharu sepanjang 11 hari eskpo itu berlangsung ialah Kampung Durian Runtuh Upin & Ipin, Kampung Mak Cun, Festival Muzik Ritma Petani dan tapak perkhemahan untuk 5,000 remaja.