MAG terima kelulusan penting dalam usaha pelan penstrukturan semula
Nickyson Nyambar
Januari 20, 2021 22:50 MYT
Januari 20, 2021 22:50 MYT
KUALA LUMPUR : Mahkamah United Kingdom (UK) meluluskan permohonan Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd untuk melaksanakan komponen utama dalam pelan penstrukturan dan penyusunan semula operasi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut pada Rabu, proses penstrukturan itu akan dilaksanakan berdasarkan Rancangan Perniagaan Jangka Panjang (LTPB).
Ia langkah yang diambil dalam memastikan kelangsungan sektor penerbangan yang jelas dihimpit pandemik COVID-19.
"Pada awal tahun 2020, kita telah menyaksikan MAG tampil dengan pelbagai program pemulihan secara berterusan.
"Pandemik COVID-19 (yang tiba sekali lagi) menyebabkan momentum itu terhenti. Lebih-lebih lagi apabila sempadan ditutup dan pesawat terkandas di lapangan terbang, jelas industri penerbangan adalah industri yang paling teruk terjejas.
"Pemulihan sepenuhnya dijangka hanya akan berlaku pada 2023. Jadi, MAG mengambil langkah drastik untuk mengurangkan kos, memelihara tunai dan mentransformasikan perniagaan sejajar dengan aspirasi jangka panjang dalam menghadapi krisis ini," kata kenyataan tersebut.
Oleh yang demikian, kenyataan itu menyebut, MAG terpaksa mengambil langkah yang holistik merangkumi penyusunan semula termasuk mengkaji ukuran perniagaan.
"MAG sebelum ini telah melakukan perbincangan secara aktif bersama dengan semua pihak termasuk pemegang kepentingan dan mereka memberikan sokongan sepenuhnya terhadap usaha (penstrukturan semula ini).
"Walau bagaimanapun, masih ada sebilangan kecil pemiutang yang belum menunjukkan sokongan mereka terhadap strategi ini.
"Oleh yang demikian, sebahagian proses penstrukturan turut dilaksanakan melalui skim pengaturan yang akan dicadangkan oleh anak syarikat, MAB Leasing Limited ("MABL")," tambah kenyataan sama.
Terdahulu, MABL telah mengemukakan surat penyata kepada kumpulan-kumpulan pemiutang bagi memaklumkan skema penstrukturan MAG di bawah Bahagian 26 Akta Syarikat UK 2006.
Mahkamah kemudian mengadakan sesi pendengaran pada 20 Januari 2021 dan telah meluluskan MABL untuk mengadakan mesyuarat bersama pemiutang untuk mempertimbangkan cadangan skim tersebut.
#Malaysia Airlines
#Mahkamah United Kingdom
#UK
#Penstrukturan dan penyusunan semula operasi
#Rancangan Perniagaan Jangka Panjang LTPB
#MAS Airlines
#Malaysia Aviation Group Bhd MAG