MAG, PDB orak langkah bersejarah, kendali pesawat penumpang guna bahan api SAF

Firdaus Azil
Jun 5, 2022 12:32 MYT
Penerbangan MH603 Kuala Lumpur Singapura itu dijalankan bagi melihat bagaimana struktur pengoperasian menggunakan SAF boleh dijadikan sebagai penerbangan komersial di masa akan datang. - Foto BERNAMA
SEPANG: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd hari ini selangkah lagi menghampiri aspirasi sifar pelepasan karbon, susulan penerbangan pertama pesawat penumpangnya menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Phillip See berkata, MAG mempunyai inspirasi untuk menjadi peneraju penerbangan menggunakan SAF, bagi merealisasikan komitmen mereka mencapai pembangunan sosio-ekonomi negara ini.
Katanya lagi, penerbangan MH603 Kuala Lumpur – Singapura menggunakan pesawat Boeing 737-800 itu dijalankan bagi melihat bagaimana struktur pengoperasian menggunakan SAF boleh dijadikan sebagai penerbangan komersial di masa akan datang.
“Kami telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi meminimumkan pelepasan karbon dalam pengoperasian kami, termasuk penggunaan bahan api seperti SAF.
“Dengan penerbangan pesawat penumpang hari ini, kami menggalakkan pelanggan untuk bersama-sama dalam pengembaraan ini, ketika kami sedang mengambil langkah meminimakan kesan ke atas alam sekitar, termasuk meningkatkan jumlah penerbangan menggunakan SAF, demi kebaikan industri, negara, dan masa depan bumi.
“Menuju ke hadapan, kami akan melihat cara untuk menjadikan SAF lebih bersih, serta lebih kerap digunakan sebagai alternatif bahan api penerbangan menjelang 2025,” katanya lagi.
Menurut siaran media yang disertakan, bahan api penerbangan mampan itu dihasilkan oleh Neste, dengan campuran antara bahan api konvensional, dan SAF yang terhasil 100 peratus daripada bahan buangan yang dikitar semula, dan sisa buangan mentah seperti sisa lemak haiwan.
Penerbangan pesawat penumpang itu merupakan susulan kejayaan MAG mengendalikan penerbangan kargo MH7979 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Disember tahun lepas.
Operasi penerbangan itu dilakukan dengan kerjasama antara MAG dan Petronas Dagangan Bhd, yang terjalin semenjak 2021 khusus bagi meneroka peluang untuk menggerakkan agenda kemampanan dalam industri penerbangan.
Mengulas lanjut, Phillip berkata, buat masa kini penerbangan menggunakan SAF beroperasi dengan kos yang lebih tinggi, namun ia merupakan sesuatu yang perlu diterokai sebagai pelaburan jangka panjang.
Beliau berkata, penggunaan teknologi baharu itu, sekiranya dikomersialkan, tidak mempunyai impak yang tinggi terhadap tiket penerbangan, memandangkan harga biasanya bergantung kepada kehendak pasaran (market-driven).
Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, kejayaan dua penerbangan hasil kerjasama PDB dan MAG itu merupakan hasil komitmen Petronas secara keseluruhan untuk mencapai agenda Sifar Pelepasan Karbon 2025.
“Dengan dua penerbangan ini, PDB telah membuktikan keupayaannya dalam kesiapsiagaan serta infrastruktur dalam menyalurkan SAF di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, bagi menyokong agenda kelestarian industri penerbangan.
“Bersekali dengan komitmen dari pasukan petugas khas PDB, kami yakin kami mampu bersama-sama untuk mempercepatkan tranformasi industri penerbangan Malaysia ke arah kelestarian,” katanya lagi.
#MAG #karbon sifar #Malaysia Airlines #saf
;