MAG di landasan tepat untuk kembali raih untung pada 2023
Bernama
April 13, 2022 05:20 MYT
April 13, 2022 05:20 MYT
PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) kini berada di landasan tepat untuk mencatat semula keuntungan pada tahun depan dan mencecah paras jualan tiket sebelum pra-pandemik seawal 2024.
Ketua Pegawai Kelestariannya Philip See berkata jangkaan tersebut berdasarkan prestasi suku pertama berbanding rancangan belanjawan kumpulan tersebut.
Jualan tiket prapandemik kumpulan itu berjumlah sehingga RM10 bilion yang mana 3 hingga 4 daripadanya adalah hasil sampingan, katanya.
Menurutnya, ketika pelaksanaan langkah penstrukturan semula kumpulan, usaha penyusunan semula lembaran imbangan yang substantif telah dijalankan bagi menjadikannya lebih kompetitif dan berdaya tahan dengan menambah aspek kepelbagaian terhadap struktur terasnya.
"Teras keuntungan itu adalah untuk mempelbagaikan perniagaan, sama seperti perniagaan kargo kami yang mencatat prestasi agak memberangsangkan ketika tempoh pandemik. Kami berharap momentum itu akan berterusan dan seiring dengan pemulihan perjalanan udara," katanya kepada pemberita majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MAG dan Sunway Group di sini, pada Rabu.
MoU itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Izham Ismail dan Pengarah Eksekutif Sunway Group Sarena Cheah.
Majlis itu turut disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan MAG merangkap Pengerusi Malaysia Airlines Bhd Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Jeffrey Cheah serta Timbalan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Razman M Hashim.
Mengulas selanjutnya, See berkata kumpulan penerbangan itu turut menggunapakai strategi seperti mengubah model perniagaan, memperluas aspek sampingan serta pengalaman pengembaraan baharu menerusi aplikasi Journify.
Beliau berkata, sasaran pengembangan perniagaan MAG adalah untuk memperluas pendapatan sampingan yang dijangka kumpulan itu akan berlipat ganda menjelang 2025 daripada paras pra-pandemik dan melangkaui jualan tiket penerbangan seperti pakej pengembaraan, peruntukan tempat duduk, sajian makanan dan lain-lain.
"Aspek pendapatan sampingan itu merupakan margin tulen untuk kumpulan. Kos struktur kami 70-80 peratus adalah tetap. Perniagaan penerbangan adalah margin yang rendah. Oleh itu, adalah penting bagi kami untuk memacu kesemua pengalaman pengembaraan yang berbeza dan atas dasar inilah Sunway sememangnya satu kerjasama penting untuk kami," katanya.
Sementara itu dalam satu kenyataan bersama, MAG and Sunway Group berkata MoU bagi tempoh dua tahun itu bertujuan untuk saling memanfaatkan kekuatan dan kedudukan masing-masing sebagai pemangkin bagi memulihkan semula ekonomi negara dalam pelbagai industri termasuk penerbangan, hartanah, pendidikan, pelancongan perubatan dan hospitaliti.
Kerjasama itu akan membolehkan MAG selaku sebuah organisasi penerbangan global dan Sunway yang juga antara konglomerat utama Asia Tenggara, meninjau inisiatif kerjasama lebih luas termasuk peluang perniagaan baharu, kempen pemasaran bersama selain aktiviti penjenamaan dan promosi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli-Belah dan Taman Tema Sunway HC Chan berkata kerjasama tersebut akan melonjakkan pemulihan ekonomi dan pertumbuhan Malaysia yang terjejas akibat pandemik.
Di bawah MoU itu, Malaysia Airlines akan dilantik sebagai penerbangan pilihan Sunway, sekali gus memaparkan keyakinan syarikat itu terhadap perkhidmatan premium dan boleh dipercayai yang merentasi rangkaian syarikat penerbangan itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pada masa sama, katanya, Sunway juga dapat meninjau peluang baharu menerusi cabang pengendali pelancongannya, MHholidays, program pengembaraan digital penuntut MHexplorer serta program ganjaran bersama menerusi program kesetiaan syarikat penerbangan itu, Enrich.
-- BERNAMA