MAFTA menyemarakkan perniagaan Malaysia-Australia

Bernama
Mei 8, 2013 09:18 MYT
Setiausaha Parlimen Perdagangan Australia Kevin Thomson berkata Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA), yang berkuat kuasa pada Januari, mencergaskan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Beliau berkata pemansuhan hampir kesemua tarif antara kedua-dua negara bukanlah perkara kecil jika mengambil kira mekanisme perdagangan dua hala yang mencecah lebih daripada A$17 bilion pada 2011 dan 2012.
Thomson, Anggota Parlimen bagi kerusi Persekutuan Wills di sini, berkata selari dengan MAFTA, kerajaan Australia mahu memastikan ia memperoleh manfaat besar yang dimuatkan dalam kertas putih bertajuk "The Asian Century" (Abad Asia)yang dilancarkan baru-baru ini.
"Kertas putih itu adalah asas untuk membangunkan kapasiti dalam memenuhi permintaan Asia yang semakin berkembang ke atas barangan dan perkhidmatan bernilai tinggi," katanya pada majlis makan tengah hari Majlis Perniagaan Australia-Malaysia di sini pada Selasa.
"Kertas putih itu memuatkan maklumat mengenai kekayaan Asia dan jumlah kelas pertengahan yang semakin meningkat yang kini mencorakkan pasaran global.
"Kertas putih itu menyentuh segala-gala yang dilakukan oleh kerajaan (Australia) -- daripada pendidikan sehinggalah kepada peraturan, infrastruktur, hal ehwal serantau dan dasar-dasar ekonomi.
"Mengikut strategi itu, jentera kerajaan secara keseluruhannya menggariskan tugas untuk memaksimumkan Australia bagi merebut potensi Abad Asia," kata Thomson.
Beliau berkata kejayaan Abad Asia memerlukan sokongan luas masyarakat -- perniagaan, akademik, sektor bukan kerajaan dan orang ramai.
Canberra sudah mengeluarkan garis panduan yang mengetengahkan dokumentasi yang diperlukan di bawah MAFTA bagi membantu ahli perniagaan untuk memanfaatkan peluang yang diwujudkan menerusi perjanjian perdagangan bebas itu.
Beliau berkata Pelan Pembabitan Perniagaan abad Asia bernilai A$6 juta, inisiatif baharu, akan menyediakan geran antara A$20,000 dan A$300,000 untuk organisasi perniagaan mengakses rangkaian komersil Asia dan rangkaian nilainya.
Ia akan diurus oleh Austrade, yang sebelum ini dikenali sebagai Suruhanjaya Perdagangan Australia, sebuah agensi Kerajaan Australia yang membantu perniagaan Australia.
"Austrade mampu memain peranan penting dalam membantu perniagaan mengemudi jalan dalam pasaran Malaysia, membantu mencari rakan kongsi, menyediakan kajian pasaran dan memperkenal penggiat utama dalam perniagaan dan kerajaan," kata Thomson.
Makan tengah hari itu dihoskan oleh syarikat perakaunan Pitcher Partners dan dihadiri Konsul Jeneral Malaysia di sini Dr Mohd Rameez Yayah serta pemimpin perniagaan.
#kevin thomson #mafta