MAFI tawar khidmat jual barangan pertanian secara dalam talian

Muhafandi Muhamad
Mei 12, 2021 09:59 MYT
Che Abdullah berkata sudah enam tahun AgroBazaar Online dilancarkan dengan kejayaan jualan atas talian sangat memberangsangkan.
KOTA BHARU: Sejajar dengan peningkatan jual beli secara dalam talian, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) antara yang tidak terkecuali menawarkan khidmat penjualan barangan pertanian secara kaedah itu.
Antara lain, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), melalui menyediakan platform penjualan dalam talian hasil usahawan tani melalui AgroBazaar, memasarkan produk keluaran pertanian kepada rakyat Malaysia.
Tmbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sudah enam tahun AgroBazaar Online dilancarkan dengan kejayaan jualan atas talian sangat memberangsangkan.
"AgroBazaar Online kini telah menjangkau usia enam tahun sejak dilancarkan pada 5 Disember 2015.
"Peringkat awal agak perlahan tetapi apabila berlaku pelaksanaan PKP, nilai jualan meningkat mendadak kerana ramai yang memilih untuk mmbeli secara dalam talian.
Tambahnya kempen ini merupakan salah satu usaha FAMA untuk membantu usahawan IKS sedia ada atau menggunakan perkhidmatan Shopee untuk tingkatkan jualan mereka.
AgroBazaar Online menawarkan produk serta perkhidmatan berasaskan pertanian dengan bertujuan membantu usahawan memasarkan hasil mereka secara dalam talian.
Sempena sambutan Aidilfitri pada Khamis, FAMA dengan kerjasama platform e-dagang melaksanakan kempen Riang Ria Raya bermula 1 hingga 31 Mei.
Ia menawarkan harga diskaun mangga harum manis, produk Agromas dan produk usahawan terpilih melalui lima buah agro hub FAMA.
Sepanjang ditubuhkan, AgroBazaar Online mencatatkan jualan sebanyak RM8.4 juta, manakala sepanjang bulan Mei tahun lepas hingga April 2021, iaitu ketika pelaksanaan PKP, nilai jualan secara dalam talian adalah sebanyak RM2.46 juta.
Ianya membabitkan jualan produk segar RM1.34 juta dan produk makanan RM1.12 juta dengan hampir 100,000 penghantaran.
#perniagaan #dalam talian #MAFI #Kementerian Pertanian dan Industri Makanan #onlie #Agrobazaar #FAMA #pertanian
;